Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Supermoon’ pertama 2025 lebih besar, terang hiasi langit malam

Oct 8, 2025 | 3:30 PM
harvest moon, gardens by the bay, supermoon, 7 Okt, Singapura
Gambar ‘Harvest Moon’ yang memancarkan cahaya jingga terang, diambil di Gardens by the Bay, pada 7 Oktober. - Foto ZAOBAO

Fenomena ‘supermoon’, atau bulan perigi mahupun bulan penuh besar, memukau penggemar kaji bintang dan pemerhati bintang pada malam 7 Oktober, dengan sebilangan mereka berkata ia kelihatan lebih besar dan lebih terang daripada biasa. 

Ini adalah ‘supermoon’ pertama daripada tiga yang dijangkakan mengambang pada 2025.

Dikenali juga sebagai ‘Harvest Moon’ – istilah bagi bulan purnama yang paling hampir dengan ekuinoks musim luruh di Hemisfera Utara – fenomena itu muncul hanya sehari selepas Perayaan Kuih Bulan pada 6 Oktober.

Ramai penduduk Singapura berkongsi gambar bulan tersebut di media sosial, dengan latar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), panorama bandar dan taman perumahan yang sunyi, lapor The Straits Times (ST).

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, memuat naik foto bulan yang dirakam seorang penduduk di Ang Mo Kio, di Instagram beliau. 

“Harvest Moon terang menyinari (langit) malam ini,” tulis Encik Lee di dalam kapsyen foto itu, sambil menyatakan ia merupakan ‘supermoon’ pertama daripada tiga bagi 2025.

Pengguna Facebook, Cik Doris Ong, berkongsi foto bulan di wadah media sosial itu, menunjukkan ia berada di atas sebuah blok HDB dengan cahaya jingga yang terang, sambil berkata ia kelihatan “lebih besar dan bulat”.

Encik Nicholas Tan, yang turut berkongsi gambar bulan di sebelah sebuah blok kediaman, berkata dalam kapsyen beliau berasa “sangat bertuah” kerana berpeluang menyaksikan fenomena tersebut.

Bercakap dengan ST, seorang kakitangan awam berusia 60 tahun, Encik A. Kannan, berkata beliau telah memerhatikan langit untuk menyaksikan ‘supermoon’ tersebut.

Dengan langit cerah di kawasan timur Singapura, beliau melihat bulan memancarkan cahaya jingga-merah yang terang, tidak lama selepas ia terbit pada 7.03 malam.

Menurut Encik Kannan, beliau gemar merakam foto bulan dengan latar bangunan, kerana ia membuat bulan itu kelihatan lebih besar, katanya.

“Gambar bulan yang paling cantik biasanya diambil ketika ia mula terbit, kerana ia akan kelihatan lebih kecil apabila sudah tinggi di langit,” tambahnya.

Fenomena ‘supermoon’ berlaku apabila bulan berada pada titik paling hampir dengan Bumi dalam orbitnya, kedudukan yang dikenali sebagai perigee

Disebabkan kedudukan dekat itu, bulan boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan sekitar 30 peratus lebih terang berbanding bulan purnama biasa, kata Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat Nasa.

‘Harvest Moon’ yang dilihat pada 7 Oktober merupakan yang pertama daripada tiga ‘supermoon’ yang akan menerangi langit Singapura pada 2025.

Ini selain ‘Beaver Moon’ dan ‘Cold Moon’, yang masing-masing dijangka kelihatan pada 5 November dan 4 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg