Topik diikuti
Pergi ke BHkuSUSS perkenal program perkasa masyarakat siap hadapi krisis
SUSS perkenal program perkasa masyarakat siap hadapi krisis
Satu program dua hari diperkenalkan oleh Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi melatih peserta mengurus krisis dan gangguan besar-besaran.
Keadaan ini termasuk apabila perkhidmatan asas seperti sistem sokongan masyarakat dan penjagaan, operasi organisasi, prasarana, rantaian bekalan, penjagaan kesihatan serta kemudahan awam terjejas.
Gangguan sedemikian boleh berpunca daripada kecemasan kesihatan awam seperti wabak penyakit, cuaca melampau akibat perubahan iklim, serta kegagalan prasarana atau kemudahan awam.
Selain itu, ia turut merangkumi insiden teknologi dan keselamatan siber, kekurangan tenaga kerja, gangguan bekalan perubatan mahupun ancaman keselamatan.
Program itu bermula pada 19 November, dengan hari keduanya akan diadakan pada 26 November.
Seramai 27 peserta telah mendaftar bagi program tersebut.
Program itu bertujuan melengkapkan peserta yang antaranya daripada sektor awam, swasta, badan bukan mencari untung dan masyarakat, dengan asas pengurusan krisis, perlindungan perkhidmatan penting, kesinambungan penjagaan dan penyelarasan tindak balas berkesan.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, Ketua Program Keselamatan Global dan Strategi di SUSS, berkata program tersebut mengajar peserta cara menangani tekanan emosi dan keresahan yang dialami masyarakat ketika berdepan krisis.
“Ini merupakan kursus pengurusan krisis, bukannya kursus kaunseling, namun kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat.
“Sebahagian besar tekanan yang dialami seseorang ketika krisis berlaku berpunca daripada ketidaktentuan, rasa tidak berdaya dan kekeliruan, termasuk tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku, tindakan yang perlu diambil atau pihak yang boleh dipercayai,” katanya.
Peserta akan meneliti peringkat utama dalam pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan, serta mempelajari cara menggunakan kerangka pengurusan kecemasan, termasuk Rangka Kerja Tindak Balas Nasional (NRF) dan Sistem Perintah Insiden (ICS).
NRF menyediakan struktur dan mekanisme bagi hala tuju dasar dan operasi di peringkat nasional dalam pengurusan insiden domestik.
Manakala ICS menyediakan struktur pengurusan insiden di lokasi kejadian bagi menangani pelbagai jenis ancaman, sekali gus membolehkan semua agensi menggunakan struktur organisasi yang sama di seluruh negara.
Sepanjang program tersebut, peserta akan meneliti peranan pemerintah dan agensi sektor, perniagaan, pertubuhan kemanusiaan serta kumpulan masyarakat semasa krisis, di samping peranan penyedia khidmat penjagaan, keluarga, penjaga dan sukarelawan.
Topik lain yang dibincangkan termasuk perancangan kecemasan, perintah dan penyelarasan, komunikasi semasa krisis dan maklumat palsu, pengurusan sumber, kerjasama sektor awam dan swasta, kesinambungan perniagaan dan perkhidmatan serta pemulihan selepas krisis.
Melalui kajian kes sebenar dan kegiatan amali, peserta akan meneliti bagaimana pelbagai pihak berkepentingan bekerjasama untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan penjagaan dan perkhidmatan penting serta operasi organisasi semasa gangguan.
Pada hari kedua, peserta akan bekerja dalam kumpulan untuk menganalisis senario krisis yang berkembang, mengenal pasti risiko dan keperluan utama, serta membangun pelan tindak balas dan pemulihan.
Mereka juga akan membentangkan dan mempertahankan saranan masing-masing, diikuti sesi soal jawab dan perbincangan bersama pemudah cara.