Agensi, ejen dan pemaju hartanah akan menghadapi keperluan pematuhan lebih ketat serta penalti pencegahan lebih tinggi berikutan kelulusan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Perkara Lain (Ejen Hartanah dan Pemaju) pada 8 April.
Undang-undang itu menyasarkan sektor hartanah dengan tujuan menangani pengubahan wang haram, pembiayaan pengganasan dan pembiayaan pengembangbiakan (proliferasi senjata pemusnah besar-besaran).
Untuk melakukan itu, ia akan mengukuhkan rangka kerja penalti, menyelaraskan peraturan dengan piawaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan menjelaskan sekatan terhadap orang yang disabitkan kesalahan.
Pada masa ini, agensi dan ejen hartanah yang ingkar menghadapi denda maksimum mengikut kes masing-masing apabila melibatkan pelanggaran berkaitan pengubahan wang haram dan kegiatan pembiayaan pengganasan.
Sebagai contoh, mereka boleh didenda hingga $5,000 setiap kes bagi pelanggaran kecil. Bagi pelanggaran lebih serius yang didengar di hadapan jawatankuasa tatatertib, agensi hartanah berdepan denda hingga $200,000 bagi setiap kes, manakala ejen hartanah berdepan denda maksimum $100,000 bagi setiap kes.
Jawatankuasa itu terdiri daripada ahli panel tatatertib Majlis Agensi Hartanah (CEA), yang termasuk peguamcara, arkitek dan jurutera.
Bagaimanapun, penalti berasaskan setiap kes tidak menyediakan pencegahan mencukupi, kerana potensi manfaat kewangan memudahkan transaksi haram jauh lebih tinggi daripada denda maksimum, kata Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah.
Dalam ucapannya di Parlimen pada 8 April, beliau berkata dalam kes pengubahan wang haram $3 bilion baru-baru ini, harta yang dirampas daripada 10 pesalah yang disabitkan itu bernilai lebih $370 juta.
Ia kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura dan menyaksikan lebih 200 hartanah dirampas.
CEA sebelum ini berkata ia sedang menyiasat ejen hartanah yang mungkin memudahkan transaksi hartanah berkaitan kes itu.
Cik Indranee berkata andainya seorang ejen hartanah memudahkan penjualan satu hartanah sedemikian bernilai $10 juta, komisen 2 peratus untuk transaksi sedemikian berjumlah $200,000.
Itu dua kali ganda penalti maksimum semasa yang boleh dikenakan ke atas mereka jika didapati melanggar tanggungjawab ketekunan wajar mereka.
Cik Indranee berkata: “Dengan keuntungan kewangan sedemikian jauh melebihi penalti maksimum semasa untuk kesalahan ini, ada keperluan jelas untuk menaikkan penalti bagi pencegahan lebih kuat.”
Oleh itu, undang-undang dipinda untuk mengenakan penalti maksimum atas dasar pelanggaran dan bukannya berdasarkan setiap kes.
Penalti maksimum untuk pelanggaran disiplin lain, bagaimanapun, akan kekal berdasarkan setiap kes.
Cik Indranee memberikan contoh hipotesis seorang ejen hartanah yang melakukan dua pelanggaran berkaitan kewajipan antipengubahan wang haram dan dua lagi pelanggaran berkaitan kecuaian dalam mengendalikan transaksi.
Rangka kerja penalti semasa hanya membenarkan denda maksimum berjumlah $100,000 bagi keempat-empat pelanggaran.
Tetapi di bawah rangka kerja baru itu, ejen hartanah itu boleh didenda hingga $200,000 bagi dua pelanggaran antipengubahan wang haram dan $100,000 lagi untuk dua pelanggaran berkaitan salah laku profesional.
Bagi pemaju, pada masa ini terdapat denda maksimum $5,000 untuk kesalahan kurang serius. Dengan kelulusan rang itu, denda maksimum dinaikkan kepada $50,000 bagi beberapa kesalahan itu.
Perubahan lain dalam rang itu termasuk penyelarasan dengan piawaian FATF yang dikemas kini dalam mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko berkaitan pembiayaan pegembangbiakan.
Ia juga menjelaskan mereka yang disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram, pembiayaan pengganasan atau pembiayaan percambahan, sama ada dilakukan di Singapura atau di luar negara, tidak dianggap wajar dan sesuai memegang lesen agensi hartanah atau pendaftaran ejen hartanah.
Terdapat lebih 36,000 ejen hartanah di Singapura setakat Januari.
Cik Indranee berkata: “Memandangkan penjenayah semakin canggih dari semasa ke semasa, kami akan terus berwaspada dan tidak akan teragak-agak untuk mengetatkan lagi rejim kita jika perlu.
“Membanteras pengubahan wang haram, pembiayaan pengganasan dan pembiayaan pengembangbiakan dalam sektor hartanah memerlukan usaha bersepadu bukan sahaja oleh pemerintah, tetapi semua pihak berkepentingan, seperti perniagaan dan individu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg