Keupayaan agensi penguat kuasa undang-undang bagi menangani kes pengubahan wang haram bakal ditingkatkan sekiranya Rang Undang-Undang Antipengubahan Wang dan Hal-Hal Lain diluluskan Parlimen.
Rang undang-undang tersebut diperkenalkan dan dibentangkan buat kali pertama semasa sidang Parlimen pada 2 Julai.
Susulan pembentangan tersebut, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media menyatakan di bawah rang undang-undang itu, ia akan membenarkan agensi pemerintah untuk berkongsi data seperti hasil cukai dan maklumat perniagaan antara satu sama lain.
Rang undang-undang itu mencadangkan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi membenarkan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dan Kastam Singapura berkongsi data cukai dan perdagangan dengan Pejabat Pelaporan Urus Niaga Mencurigakan (STRO).
STRO ialah Unit Perisikan Kewangan Singapura di bawah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura (SPF).
STRO menerima laporan transaksi mencurigakan dan laporan lain yang kemudiannya dianalisis untuk mengesan pengubahan wang haram dan jenayah serius lain.
Ia juga berkongsi risikan kewangan dengan agensi berkaitan apabila kesalahan dikesan.
Rang undang-undang itu mencadangkan untuk membenarkan pengawal selia mendapat akses yang lebih luas kepada CAD.
Ini bermakna apabila ejen hartanah dan penyedia perkhidmatan korporat memfailkan laporan urus niaga yang mencurigakan dengan STRO, Majlis Agensi Hartanah (CEA) dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) boleh mengakses laporan ini.
Ejen hartanah dan penyedia perkhidmatan korporat menjadi tumpuan berhubung dakwaan terhadap peranan mereka dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion melibatkan 10 warga asing.
Akhbar The Straits Times melaporkan pada Ogos 2023, CEA sedang menyiasat ejen yang mungkin telah memudahkan transaksi hartanah berkaitan kes itu.
Di samping itu, rang undang-undang tersebut juga akan mempermudahkan bagaimana pendakwa boleh membuktikan kes berhubung kesalahan yang berlaku di luar negara, terutama apabila ia amat mencabar untuk mendapatkan bukti dari luar negara.
Buat masa ini, pihak pendakwaan perlu menunjukkan wang yang diubah di Singapura dikaitkan secara langsung dengan jenayah tertentu, dan mesti menunjukkan jejak keseluruhan dana itu dari detik jenayah itu dilakukan.
MHA menjelaskan adalah mencabar untuk mendapatkan bukti sedemikian daripada individu warga asing dan pihak berkuasa asing, terutamanya apabila dana yang diubah melalui pelbagai bidang kuasa sebelum memasuki Singapura.
Pindaan itu mencadangkan pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa pengubah wang haram itu tahu atau percaya dia berurusan dengan hasil jenayah.
Ini akan memudahkan pendakwaan keldai wang, tambah MHA.
Pindaan Rang Undang-undang Antipengubahan Wang dan Hal-Hal Lain
1. Tingkatkan keupayaan agensi penguat kuasa undang-undang untuk bertindak dan sabit kesalahan pengubahan wang haram
- Perhalusi prosedur bagi pendakwaan kes pengubahan wang haram terkait dengan kesalahan jenayah di luar negara
- Tetapkan jenayah terhadap alam sekitar di negara asing sebagai kesalahan predikat pengubahan wang haram
- Membolehkan perkongsian data silang agensi
2. Beri kejelasan dan menambah baik proses untuk menangani harta benda disita yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah yang disyaki
- Benarkan penjualan harta benda disita
- Urus harta benda yang dikaitkan dengan suspek yang telah larikan diri
3. Jajarkan rangka kerja Antipengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Pengganasan (AML/CFT) untuk pengendali kasino dengan piawaian Pasukan Bertindak Bagi Tindakan Kewangan (FATF), badan antara pemerintah yang membangunkan piawaian antarabangsa menentang pengubahan wang haram
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg