Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat farmaseutikal Sanofi buka kemudahan $800j di Tuas

Nov 27, 2024 | 7:33 PM
Kilang seluas 58,000 meter persegi itu akan menghasilkan vaksin dan produk biofarmaseutikal lain seperti enzim dan antibodi buatan makmal.
Kilang seluas 58,000 meter persegi itu akan menghasilkan vaksin dan produk biofarmaseutikal lain seperti enzim dan antibodi buatan makmal. - Foto ST

Syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi, telah membuka fasiliti pembuatan baru bernilai $800 juta di Taman Bioperubatan Tuas.

Kilang seluas 58,000 meter persegi itu – yang kedua Sanofi di Singapura – akan menghasilkan vaksin dan produk biofarmaseutikal lain, seperti enzim dan antibodi buatan makmal.

Kemudahan baru itu, dinamakan Modulus, dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan 2026.

Ia akan mengambil 200 pekerja menjelang 2026, dengan peranan seperti kejuruteraan, analisis data, dan teknologi, lapor The Straits Times (ST).

Sanofi berkata, Modulus adalah fasiliti pertama di dunia dengan konsep “modular”.

Ia boleh menempatkan 34 modul pengeluaran dengan peralatan yang saling bersambung, membolehkannya menukar pengeluaran antara vaksin dengan produk biofarmaseutikal berbeza dalam masa beberapa hari.

Ketua tapak Modulus, Encik Koh Liang Hong, memberitahu ST pada 27 November bahawa Singapura dipilih untuk fasiliti baru itu kerana ekosistem pembuatan negara yang maju, yang menyokong pertumbuhan, inovasi, dan matlamat kemampanan syarikat biofarmaseutikal.

Berpusat di Paris, Sanofi mempunyai operasi di 100 negara dan bilangan pekerja global seramai 91,000. Ia pakar dalam pengeluaran ubat-ubatan umum, vaksin, dan penjagaan khas.

Ia memulakan operasi pertamanya di Singapura pada 1970 dengan sebuah kilang pembuatan molekul di Jurong dan menjadikan negara ini ibu pejabat serantau pada 1997.

Dalam majlis perasmiannya, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata Singapura menempatkan 60 fasiliti pembuatan, termasuk yang dikendalikan oleh lapan daripada 10 syarikat biofarmaseutikal terbesar di dunia.

Fasiliti itu menghasilkan pelbagai jenis ubat, daripada bahan aktif farmaseutikal molekul kecil kepada biologi dan terapi sel.

“Hari ini, sektor tersebut menyumbang lebih $19 bilion dalam pengeluaran, peningkatan tiga kali ganda berbanding 20 tahun lalu, dan menyediakan pekerjaan kepada 9,000 orang,” kata Encik Ong.

Encik Ong menambah bahawa Modulus akan memperkukuhkan lagi kerjasama Singapura dalam persediaan dan tindak balas terhadap pandemik.

Menurut beliau, Singapura, melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), menarik syarikat-syarikat antarabangsa yang terbaik seperti Sanofi untuk melabur dan membangunkan keupayaan di sini.

Fasiliti baru Sanofi itu dibuka di tengah-tengah pengembangan besar syarikat farmaseutikal global di Singapura pada 2024.

Pada Mac, Novartis mengumumkan bahawa ia akan membelanjakan AS$256 juta ($338 juta) untuk membesarkan kilang pengeluarannya yang sedia ada.

Ini diikuti oleh AstraZeneca pada Mei, yang merancang membangunkan kemudahan bernilai AS$1.5 bilion yang dijadualkan buka pada 2029.

Pada Julai pula, Pfizer membuka sebuah kilang pengeluaran bernilai $1 bilion untuk menghasilkan bahan aktif farmaseutikal bagi ubat kanser, tahan sakit, dan antibiotik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg