Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian klinikal vaksin jerawat bakal diadakan di S’pura

Nov 25, 2024 | 5:34 PM
Majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai memajukan penyelidikan rawatan jerawat ditandatangani di Pusat Kulit Nasional pada 22 November.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai memajukan penyelidikan rawatan jerawat ditandatangani di Pusat Kulit Nasional pada 22 November. - Foto ST

Beberapa orang di Singapura akan menjadi antara yang terawal di dunia mengetahui keberkesanan vaksin jerawat yang pertama seumpamanya, dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi.

Syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada 22 November dengan A*Star dan Pusat Kulit Nasional (NSC) untuk menjalankan penyelidikan serta ujian klinikal peringkat awal vaksin tersebut ke atas pesakit yang mempunyai masalah jerawat.

Sekitar 200 orang akan jalani ujian klinikal tersebut, yang akan bermula pada 2025, lapor The Straits Times.

Satu lagi percubaan untuk vaksin bagi orang yang mengalami jerawat yang teruk, telah bermula di Amerika Syarikat.

Vaksin itu dicipta untuk mengurangkan jerawat, keadaan kulit yang menjejas sekitar lapan daripada 10 remaja.

Ia mungkin juga dapat menyembuhkan pesakit.

Selain ujian klinikal bersama NSC, Sanofi akan bekerjasama dengan A*Star dalam penyelidikan mengenai masalah kulit.

“Kami percaya Singapura berada dalam kedudukan yang unik untuk memimpin penyelidikan mengenai masalah kulit di Asia kerana populasi kami yang berbilang kaum,” jelas Pengerusi A*Star dan Pejabat Transformasi Penjagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH), Professor Tan Chorh Chuan, semasa majlis menandatangani MOU itu.

Jerawat adalah keadaan kulit radang kronik di mana pori-pori kulit tersumbat dengan sebum, minyak yang membantu mengelakkan kulit daripada kering, dan sel-sel kulit mati.

Ia biasanya menjejas mereka yang berusia antara 10 dengan 24 tahun, tetapi boleh menjadi masalah bagi sesetengah orang sehingga usia 40-an atau 50-an tahun.

Ia masalah kedua paling biasa dirawat di NSC, selepas ekzema.

Jerawat boleh menyebabkan parut, kurang keyakinan diri, dan kemurungan.

Encik Jean-Francois Toussaint, ketua global penyelidikan dan pembangunan vaksin Sanofi, berkata vaksin jerawat adalah salah satu daripada 12 vaksin yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu “kerana beban jerawat yang sangat besar”. 

Dianggarkan 240 juta orang di seluruh dunia menderita akibat masalah jerawat.

Dengan jualan melebihi AS$47 bilion ($63.25 bilion) pada 2023, Sanofi menduduki tempat keenam di dunia dan merupakan salah satu syarikat farmaseutikal terkemuka di dunia. 

Ia juga perintis dalam vaksin, dengan lebih 500 juta orang menerima vaksin daripada syarikat itu setiap tahun.

Encik Toussaint tidak mendedahkan jumlah pelaburan Sanofi dalam pembangunan vaksin jerawat, namun ia adalah “signifikan”.

Sanofi belanjakan kira-kira 7 bilion euro ($9.87 bilion) setahun untuk penyelidikan dalam bidang farmaseutikal dan vaksin.

Pengarah eksekutif NSC, Profesor Madya Chua Sze Hon, berkata ujian klinikal itu akan membantu menghasilkan data berharga mengenai penyakit tersebut dan rawatannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg