Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat katering Masakan Shaik Sabri didenda $10,000 kerana ruang kotor

Dec 11, 2024 | 8:50 PM
Kawasan penyediaan makanan dan premis yang kotor di dapur syarikat katering, Makanan Shaik Sabri Pte Ltd di 3015 Bedok North Street 5, didapati sarat lipas.
Kawasan penyediaan makanan dan premis yang kotor di dapur syarikat katering, Makanan Shaik Sabri Pte Ltd di 3015 Bedok North Street 5, didapati sarat lipas. - Foto SFA

Syarikat katering, Masakan Shaik Sabri Pte Ltd, telah didenda $10,000 oleh mahkamah pada 11 Disember atas kecuaian menjaga keselamatan makanan di bawah Peraturan Kesihatan Awam Sekitaran (Kebersihan Makanan).

Pada April 2023, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) menerima laporan wujud kes gastroenteritis atau flu perut, melibatkan 83 individu selepas mereka makan sajian yang disediakan katerer berlesen SFA itu yang terletak di 3015 Bedok North Street 5, di Shimei East Kitchen.

Bagaimanapun, tiada individu dimasukkan ke hospital.

Menurut SFA dalam satu kenyataan pada 11 Disember, pihaknya dan MOH telah menjalankan siasatan bersama di premis berkenaan dan mendapati beberapa kegagalan Masakan Shaik Sabri dalam memastikan keselamatan makanan mereka dipelihara.

Ini termasuk masalah sarat lipas di kawasan penyediaan makanan dan premis yang tidak bersih.

SFA telah menggantung operasi perniagaan makanan katerer tersebut dari 4 Mei 2023 hingga 22 Jun 2023.

“SFA juga mengarahkan pemegang lesen untuk membetulkan kesilapan dan mengambil langkah untuk meningkatkan kebersihan premis,” kata SFA.

SFA juga menambah Masakan Shaik Sabri juga dikehendaki membuang semua makanan siap dimakan, bahan-bahan yang sudah disediakan, barangan makanan mudah rosak dan produk makanan perantaraan.

Makanan boleh tercemar di mana-mana sahaja di sepanjang proses rantaian pembekalan dan penyediaan makanan.

Walaupun SFA terus berwaspada dan berusaha memastikan langkah kawal selia disediakan dan dikuatkuasakan dengan betul, industri katering dan pengguna juga mesti memainkan peranan mereka, jelas SFA.

SFA mengingatkan pengendali makanan agar sentiasa memastikan premis mereka bersih dan diselenggara dengan baik, serta mematuhi keperluan kebersihan makanan dan keselamatan makanan yang betul.

Ini memandangkan SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha makanan yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Sekitaran.

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $2,000 dan dalam kes kesalahan berulang, dikenakan denda lanjutan tidak melebihi $100 bagi setiap hari atau sebahagiannya sewaktu kesalahan diteruskan selepas disabitkan kesalahan.

“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Orang awam yang menemui amalan kebersihan yang kurang elok atau kegiatan yang menyalahi undang-undang di tempat makan dinasihati agar tidak melangganinya dan memberi maklum balas menerusi borang maklum balas dalam talian (www.sfa.gov.sg/feedback) dengan keterangan lanjut bagi siasatan susulan kami,” ujar SFA. – INSYIRAH MOHD SHUKOR

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg