Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

24 kanak-kanak prasekolah Little Seeds hidap gastroenteritis; 7 dibawa ke hospital

Dec 3, 2024 | 5:52 PM
Tiga daripada kes di pusat prasekolah Little Seeds cawangan Gereja Calvary Baptist dilaporkan akibat jangkitan salmonela.
Tiga daripada kes di pusat prasekolah Little Seeds cawangan Gereja Calvary Baptist dilaporkan akibat jangkitan salmonela. - Foto TANGKAPAN LAYAR GOOGLE MAPS

Seramai 24 kanak-kanak di pusat prasekolah Little Seeds diserang gejala gastroenteritis atau flu perut setakat 2 Disember.

Tujuh daripada mereka dimasukkan ke hospital berikutan kejadian di cawangan prasekolah itu di Gereja Calvary Baptist, dekat Potong Pasir.

Empat dibenarkan keluar, manakala tiga lagi berada dalam keadaan stabil, kata Agensi Makanan Singapura (SFA), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) sebagai menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST) pada 3 Disember.

Menurut laman web prasekolah itu, pusat tersebut, yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Prasekolah Anglikan (APS), menjaga kanak-kanak berumur 18 bulan hingga enam tahun.

Lagi 15 cawangan Little Seeds tidak terjejas, kata Ecda.

APS, dalam satu kenyataan yang dihantar kepada ST pada 3 Disember, berkata tiga daripada kanak-kanak itu telah didiagnosis dengan salmonela.

Ia menambah bahawa semua kegiatan berkumpulan telah dihentikan, dengan kanak-kanak duduk di dalam bilik darjah mereka.

Langkah berjaga-jaga lain termasuk pembersihan dan pembasmian kuman yang dipertingkatkan di premis itu serta penutupan sementara dapur prasekolah, dengan makanan kanak-kanak disediakan oleh khidmat katering.

Pihak sekolah juga mengingatkan ibu bapa bahawa kanak-kanak yang kelihatan kurang sihat tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Pemeriksaan kesihatan visual dan suhu sedang dijalankan sebelum kanak-kanak memasuki kawasan sekolah itu.

Tidak jelas bilakah kes pertama gastroenteritis dalam kelompok itu dilaporkan.

Salmonela, sejenis bakteria, adalah punca utama penyakit bawaan makanan di seluruh dunia.

Ia boleh didapati dalam makanan seperti daging mentah, produk tenusu mentah, ayam dan telur, menurut laman web SFA.

Bakteria itu boleh merebak kepada manusia melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar, yang membawa kepada penyakit perut dan usus.

Gejala termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah.

Jangkitan itu dijangka berlarutan sehingga seminggu bagi kebanyakan individu.

Ecda berkata ia sedang memantau keadaan dan bekerjasama dengan pengendali prasekolah untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak tersebut.

APS berkata ia sedang memantau status kanak-kanak yang terjejas, memeriksa pemulihan dan kesejahteraan mereka serta terus berhubung dengan ibu bapa kanak-kanak itu.

Kakitangannya juga telah melawat mereka yang dimasukkan ke hospital dan memaklumkan ibu bapa tentang penyiasatan itu.

Ecda juga telah mengingatkan pusat itu supaya mematuhi garis panduan MOH bagi mencegah penularan penyakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg