Syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura akan dapat mengakses ekosistem yang boleh mempercepat penggunaan kecerdasan buatan generatif (GenAI) dalam perniagaan mereka melalui satu inisiatif baru.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, buku panduan bertajuk, The AI Factory – AI Capability Guide for SMEs, telah dilancarkan pada 11 November, lapor The Straits Times (ST).
Buku panduan itu, yang disusun berdasarkan pandangan pengamal industri dan pendidik, akan dijadikan sebagai bahan rujukan untuk program pembangunan keupayaan AI anjuran Persatuan SME (Asme).
Panduan tersebut juga akan menjadi sumber pengajaran utama di Akademi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), yang merancang melancarkan program diploma siswazah industri baru dalam bidang AI.
Satu program baru sedang dibangunkan dan dijangka dilancarkan pada 2026.
Daya usaha baru itu adalah kerjasama antara Asme, Akademi SMU dan firma teknologi pendidikan Straits Interactive.
Dalam mesej yang terkandung dalam buku panduan itu, Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay, berkata ia adalah “alat yang sangat berguna untuk pemilik perniagaan dan pengamal untuk memahami asas AI dan membantu membentuk masa depan”.
“Kita harus melihat AI bukan sebagai pengganti, tetapi sebagai peluang pemerkasaan.
“Pekerja harus berasa mereka dapat diperkasa, bukan digantikan,” kata Encik Tay, yang juga Anggota Parlimen (AP) Pioneer.
“Pemimpin perlu melabur dalam latihan, peralihan yang adil, serta memastikan fungsi sumber manusia dan pembangunan pekerja dijalankan secara strategik, bukan hanya secara transaksi,” tambahnya.
Metafora AI Factory diilhamkan oleh revolusi perindustrian, tempoh tatkala industri perkilangan mengubah masyarakat.
AI memerlukan peralihan daripada pengeluaran barangan fizikal kepada penghasilan kecerdasan, yang dikuasakan oleh data, algoritma, dan prasarana pengkomputeran.
Sebuah AI factory terdiri daripada dua tingkat: Tingkat pertama adalah tempat pengeluaran teknikal dan proses dilaksanakan.
Tingkat kedua ialah tempat pengurusan dan operasi perniagaan AI, yang memimpin tugas seperti bengkel kerja, kerjasama antara manusia dengan mesin, serta tadbir urus dan etika.
Buku panduan itu turut bertujuan menyokong visi nasional untuk membangunkan “ahli dwibahasa AI”.
“Ahli dwibahasa AI” merujuk kepada pekerja yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka serta kemahiran menggunakan AI bagi meningkatkan kecekapan kerja, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Cik Teo menyatakan perkara itu selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan, berkata pemerintah akan membantu perusahaan memanfaatkan AI secara berkesan dan memastikan peluang pekerjaan untuk warga negara.
Menurut Laporan Ekonomi Digital Singapura terkini yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), penggunaan AI dalam kalangan SME telah meningkat tiga kali ganda, daripada 4.2 peratus pada 2023 kepada 14.5 peratus pada 2024.
Ini didorong terutamanya oleh penggunaan alat GenAI sedia ada.
Presiden Asme Singapura, Encik Ang Yuit, berkata:
“SME tidak lagi boleh bersaing hanya dengan bergantung pada mutu tenaga kerja atau pendidikan.
“Daya saing kini bergantung kepada berapa cepat dan bijak kita menyepadukan AI dalam operasi perniagaan.
“Fasa seterusnya dalam perjalanan AI Singapura harus melibatkan kerjasama lebih rapat antara sektor awam dengan swasta, di mana persatuan perdagangan bersama-sama mencipta penyelesaian, menguruskan geran, dan mengukur impak dunia sebenar,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg