Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat kembara, staf didakwa atas kematian pelajar

Jan 9, 2024 | 4:54 PM
DIDAKWA: Syarikat Camelot dan kakitangannya, Liew Foo Loong didakwa gagal mengambil langkah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan peserta yang mungkin terjejas oleh kegiatan kendaliannya.
DIDAKWA: Syarikat Camelot dan kakitangannya, Liew Foo Loong didakwa gagal mengambil langkah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan peserta yang mungkin terjejas oleh kegiatan kendaliannya. - Foto ST

Sebuah syarikat yang menganjurkan aktiviti kembara untuk golongan muda dan seorang kakitangannya telah didakwa atas kematian seorang pelajar berusia 15 tahun pada 2021.

Menurut dokumen mahkamah, syarikat Camelot dan kakitangannya, Liew Foo Loong, didakwa gagal mengambil langkah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan peserta yang mungkin terjejas oleh kegiatan kendaliannya itu, sehingga menyebabkan kematian Jethro Puah Xin Yang, lapor The Straits Times (ST).

Kemalangan itu berlaku di Pusat Sukan Kembara Safra di Yishun pada 3 Februari 2021.

Puah, pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), tergelincir semasa melakukan kegiatan itu dan tergantung di udara dari abah-abah keselamatan atau safety harness.

Dia tidak sedarkan diri semasa diturunkan dan tidak memberi respons apabila polis tiba di tempat kejadian.

Liew, 35 tahun, dan syarikat Camelot didakwa gagal memastikan latihan dan arahan yang betul diberikan kepada instruktor mengenai operasi menyelamat dalam keadaan apabila abah-abah keselamatan menjadi longgar atau tidak dipasang dengan betul.

Mereka juga dikatakan gagal melakukan penyeliaan yang mencukupi ketika peserta memakai abah-abah keselamatan, dan gagal memastikan tali itu diselenggara dengan baik.

Liew, yang diwakili peguamnya, Encik Favian Kang, hadir di mahkamah bagi pihak syarikat Camelot pada 9 Januari.

Peguam syarikat Camelot, Encik Nichol Yeo, berkata syarikat itu dikenakan pertuduhan tersebut pada 4 Januari selepas kes berkenaan, yang dijadual didengar pada 28 Disember, ditangguh untuk pengeluaran saman ke atasnya.

Pihak ketiga yang didakwa secara berasingan berhubung kemalangan itu dijangka mengaku bersalah pada 15 Januari atas tuduhan menyebabkan kematian dengan perbuatan terburu-buru yang tidak sampai kepada homisid.

Muhammad Nurul Hakim Mohamed Din, 23 tahun, didakwa gagal memastikan kedua-dua tali kaki pada abah-abah keselamatan yang dipakai Puah dipasang dengan betul, sebelum membenarkan pelajar itu mencuba cabaran tersebut.

Nurul Hakim adalah fasilitator aktiviti luar di syarikat Camelot.

Kemalangan itu mencetuskan perubahan dasar dalam industri pembelajaran kembara luar.

Menyusuli kejadian itu, Kementerian Pendidikan (MOE) menggantung semua kegiatan luar darjah melibatkan elemen paras tinggi bagi semua sekolah.

Kegiatan itu disambung semula pada 1 Februari 2023, dengan langkah keselamatan yang dipertingkatkan oleh MOE.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg