Masyarakat Ekonomi Asean (AEC) telah memberikan manfaat kepada banyak syarikat di rantau ini.
Namun, rangka kerjanya mesti berkembang supaya ia dapat kekal berkesan dalam ekonomi sejagat yang pesat berubah.
Demikian menurut dapatan kajian terkini yang meninjau firma dari tujuh negara Asia Tenggara.
Hampir 89 peratus syarikat di Singapura yang ditinjau percaya AEC perlu diperbaharui untuk menangani keperluan sektor swasta dengan lebih baik.
Menurut laporan itu, ia sejajar dengan “tumpuan mereka yang condong ke hadapan pada prasarana digital, kemudahan pelaburan, dan kecekapan kawal selia” – iaitu bidang di mana rangka kerja serantau mesti berkembang untuk kekal berdaya saing.
AEC yang dibentuk pada 2015, merupakan daya usaha bagi Asean menyepadukan ekonomi anggota negaranya menjadi pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal, dan bertujuan memudahkan aliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan, modal dan tenaga kerja berkemahiran dalam rantau itu.
Dapatan tersebut diterbitkan dalam Laporan ‘Negara, Pasaran dan Penyepaduan Serantau’, yang dikongsi semasa satu panel perbincangan yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 22 Julai, menjelang Persidangan Institut Pengajian Dasar (IPS)-Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) ‘Bandar Global Singapura: SG60 Dan Selanjutnya’ pada 29 Julai.
Laporan tersebut telah meninjau lebih 2,300 syarikat perkilangan dari tujuh negara Asean – Singapura, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina dan Vietnam.
Ini khusus untuk memahami cabaran yang dihadapi syarikat, serta mendapatkan pandangan mereka tentang Perjanjian Dagangan Bebas (FTA), transformasi perniagaan melalui digitalisasi dan automasi, pembangunan modal insan, kemampanan dan penyepaduan pasaran dalam rantau ini.
“Firma berpangkalan di Singapura menunjukkan keperluan bagi peraturan perdagangan digital yang lebih tangkas, kemudahan pelaburan serantau yang dipertingkat dan penyelarasan kawal selia yang diperkemas sejajar perkembangan ekonomi sejagat yang pesat berubah,” kata laporan itu.
Singapura tidak bersendirian dalam sentimen tersebut, dengan sebahagian besar syarikat di negara Asean lain – terutama yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan – melahirkan keinginan bagi AEC yang lebih diperkemas dan memberikan sokongan.
Misalnya, kesemua syarikat Vietnam yang ditinjau menyokong pembaharuan kepada AEC, yang mencerminkan peranan mendalam negara itu dalam rantaian nilai serantau dan keinginan lebih kukuh bagi sistem digital yang lebih saling boleh kendali, akses pasaran diperluas dan kestabilan pelaburan yang lebih luas.
Sementara itu, sentimen dalam kalangan syarikat di Malaysia lebih bercampur-campur, dengan 55.2 peratus responden menyokong pembaharuan – meski sesetengah sektor disepadukan dengan baik dalam AEC, yang lain masih menghadapi cabaran kawal selia dan keterbatasan prasarana.
Bagaimanapun, hanya 20 peratus syarikat di Indonesia menyokong pembaharuan AEC – terendah dalam Asean – yang mungkin mencerminkan tanggapan bahawa pembaharuan di dalam negara dan daya saing nasional adalah keutamaan lebih mendesak berbanding penggubalan peraturan serantau.
Negara Asean turut memberikan beberapa saranan pembaharuan yang boleh memenuhi keperluan syarikat dengan lebih baik dalam laporan itu.
Ini seperti pasaran lebih diperluas untuk eksport, lebih banyak peluang bagi pelaburan luar negara, insentif cukai lanjut atau bantuan cukai bagi perdagangan serantau, dan peluang bagi kerjasama dalam rantau antara syarikat dalam industri yang sama atau saiz firma yang serupa.
“Dapatan ini mengetengahkan kepelbagaian Asean: selera pembaharuan adalah paling kuat dalam ekonomi yang terhubung secara global, manakala firma yang lebih tertumpu pada pasaran domestik kurang terlibat dalam rangka kerja serantau.
“Oleh itu, pembaharuan AEC perlu mencapai keseimbangan – mempercepat penyepaduan bagi ekonomi yang paling terhubung sementara menawarkan pendekatan boleh disesuaikan, inklusif untuk yang lain,” menurut laporan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg