Lebih banyak perniagaan akan dapat berjimat dan memperoleh ganjaran dengan mengurangkan penggunaan tenaga mereka semasa waktu sibuk di bawah program Tindak Balas Permintaan (DR) yang diperluas Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
Sebagai contoh, perniagaan yang mempunyai sistem penyimpanan tenaga bateri (ESS) pada kapasiti tertentu boleh mengurangkan tenaga elektrik yang mereka keluarkan daripada grid semasa waktu sibuk dengan bergantung pada bateri dalaman mereka untuk menjalankan operasi.
Walaupun manfaat langsung program ini ialah kos elektrik lebih rendah dan insentif kewangan bagi perniagaan yang mengambil bahagian, pelarasan permintaan elektrik sebagai respons kepada kesibukan akan mengurangkan tekanan pada grid semasa tempoh permintaan tinggi dan gangguan tidak dirancang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menerusi peluasan program DR, “perniagaan mempunyai ESS boleh menggunakan bateri mereka untuk mengalihkan penggunaan elektrik mereka dari waktu sibuk ke waktu tidak sibuk”.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) yang berlangsung pada 21-25 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Perniagaan yang layak untuk program ini termasuk firma komersial dan firma dalam industri yang membeli elektrik daripada pembekal atau pasaran elektrik borong dan bukan SP Services pada tarif terkawal.
Mereka yang mempunyai ESS dengan kapasiti antara 1 megawatt (MW) dan di bawah 10 MW boleh menyertai program ini menjelang akhir Februari 2025, kata EMA dalam satu kenyataan pada 21 Oktober.
Dalam pada itu, program DR tersebut juga mendorong pengendali pengecasan EV melaraskan kelajuan pengecasan mereka sebagai respons kepada permintaan pada grid elektrik.
EMA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ComfortDelGro untuk bekerjasama dalam program perintis ini melalui projek kotak percubaan, atau sandbox, yang dikawal selia.
“Ia akan meneroka bagaimana rangkaian ComfortDelGro yang mempunyai hampir 1,000 stesen pengecas boleh melaraskan jumlah pengecasan semasa acara DR, membantu mengimbangi permintaan dan bekalan dalam grid elektrik.
“EMA mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berminat tentang cara EV boleh berfungsi sebagai aset fleksibel untuk meningkatkan daya tahan tenaga kami,” tambah EMA.
Menurut kajian yang ditugaskan oleh EMA, terdapat potensi permintaan fleksibel lebih daripada 400 MW yang belum diterokai di Singapura.
Lebih daripada 100 MW telah digunakan semasa program perintis dua tahun yang dilaksanakan EMA pada 2022, yang sepadan dengan kuasa yang diperlukan hampir 300 flat HDB empat bilik selama sebulan.
Tahap pengurangan tenaga boleh direalisasikan jika semua peserta semasa berjaya melaraskan penggunaan elektrik mereka semasa waktu sibuk selama sejam.
Sektor komersial yang bergantung pada pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara, dan proses perindustrian seperti pengeluaran gas adalah antara syarikat yang mempunyai kebolehan untuk menjadualkan semula operasi mereka ke waktu kurang sibuk, kata EMA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg