Permintaan Singapura yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui yang diimport akan membantu membina asas bagi pembangunan grid serantau di Asia Tenggara.
Ini merangsang pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui dan membantu mengembangkan sektor pengilangan untuk memenuhi permintaan bagi panel solar dan bateri.
Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Puah Kok Keong, berkata bahawa Singapura bersedia membuat pelaburan yang diperlukan untuk membantu negara memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui daripada negara-negara jiran, yang seterusnya membentuk tulang belakang grid kuasa serantau Asean.
Grid sedemikian dapat meningkatkan keterhubungan dalam negara dan memberi insentif kepada pelaburan dalam projek yang boleh diperbaharui domestik, tambahnya.
Menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (Irena), sebanyak AS$290 bilion ($380 bilion) diperlukan untuk rantau ini meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharuinya bagi mencapai sasaran Asean, iaitu 23 peratus tenaga dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2025.
Sehingga 2022, tenaga boleh diperbaharui merangkumi 15.6 peratus daripada bekalan tenaga Asean.
“Orang ramai telah lama menyedari faedah memiliki grid kuasa Asean. Namun, dorongan untuk merealisasikannya hari ini jauh lebih kuat berbanding 20 atau 30 tahun lalu,” kata Encik Puah dalam satu wawancara.
Grid serantau Asean, yang telah diusahakan selama beberapa dekad, mencapai kemajuan pada 2022 apabila Singapura mula mengimport 100 megawatt (MW) kuasa hidro dari Laos melalui Thailand dan Malaysia.
Ini telah diperluaskan kepada tambahan 100MW elektrik import daripada grid Malaysia, yang terdiri daripada arang batu dan gas asli, sebagai sebahagian daripada fasa kedua projek itu pada Oktober 2024, lapor The Straits Times (ST).
Usaha baru untuk perdagangan elektrik pelbagai hala semakin dipergiatkan apabila rantau ini cuba mengurangkan penggunaan bahan api fosil seperti arang batu dan mengurangkan pelepasan karbon, selari dengan matlamat perubahan iklim untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih hijau.
Singapura telah pun menandatangani perjanjian dengan Indonesia, Kemboja dan Vietnam untuk mengimport kira-kira 5.6 gigawatt (GW) elektrik bersih menjelang 2035, yang merangkumi hampir separuh daripada kapasiti penjanaan 13GW Singapura pada 2023.
Singapura kini menyasarkan untuk mengimport 6GW elektrik rendah karbon daripada negara-negara jirannya menjelang 2035, yang akan menyumbang sekitar 30 peratus daripada permintaan elektrik negara ini pada tahun itu.
Menjelang 2035, gas asli dijangka masih membentuk sekurang-kurangnya 50 peratus daripada campuran tenaga elektrik Singapura, berbanding 95 peratus sekarang.
Ini disebabkan keterbatasan ruang yang mengehadkan kapasiti Singapura untuk mengeluarkan tenaga boleh diperbaharui secara domestik.
Beliau menambah bahawa sektor perkilangan di Asia Tenggara berpotensi menerima satu lonjakan, apabila pemaju projek melabur dan mendapatkan peralatan tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar dan bateri, untuk memenuhi permintaan elektrik yang meningkat.
Ini berkemungkinan membawa kepada pembinaan kilang pembuatan kabel di rantau ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg