Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat pungut hutang langgar undang-undang kerana ugut penghutang, kunjung pejabat suami
Sebuah syarikat pemungutan hutang berlesen telah melanggar undang-undang apabila pekerjanya tiba di depan rumah seorang penghutang lalu menjerit kata-kata hinaan dan ugutan terhadapnya.
Mereka turut mengunjungi tempat kerja suami penghutang berkenaan bagi menuntut hutang peribadi yang tiada kaitan dengan pekerjaannya.
Hakim Gregory Gan dari Mahkamah Perlindungan Daripada Gangguan, berkata meskipun pemungut hutang boleh menuntut hutang secara sah dari segi undang-undang, lesen mereka tidak memberi pelepasan sewenang-wenangnya untuk melanggar undang-undang.
Beliau mendapati bahawa syarikat pemungutan hutang terbabit telah melanggar Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) sebanyak empat kali.
Beliau meluluskan perintah perlindungan kepada wanita berkenaan terhadap agensi pemungutan hutang itu, yang mana pekerjanya telah berulang kali berkunjung ke rumah wanita tersebut dan pejabat suaminya antara Disember 2024 dengan Januari 2025.
Dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan pada 19 Ogos, Hakim Gan menyatakan bahawa meskipun tiada keperluan dan mustahil bagi undang-undang menyenaraikan secara terperinci setiap tindakan yang dilarang dalam pemungutan hutang, terdapat sempadan yang jelas.
“Sebagai peraturan umum, membuat kunjungan ke rumah individu yang didakwa berhutang dan menjerit kata-kata hinaan atau cercaan adalah tidak dibenarkan,” kata beliau.
“Begitu juga tindakan mengunjungi tempat kerja individu yang didakwa berhutang untuk menuntut hutang peribadi yang tiada kaitan dengan tugasnya.”
Identiti syarikat pemungutan hutang, pekerja-pekerjanya dan individu yang didakwa sebagai penghutang itu telah dikeluarkan daripada penghakiman tersebut.
Syarikat pemungutan hutang berlesen berkenaan telah dilantik oleh dua kontraktor pengubahsuaian pada 25 November 2024 untuk memungut hutang yang didakwa berjumlah $102,937 daripada pasangan tersebut.
Agensi pemungutan hutang itu menghantar surat tuntutan kepada pasangan berkenaan dengan menyatakan bahawa ‘pasukan penguatkuasaan hutang’ mereka akan berhubung dengan penghutang secara peribadi untuk menuntut bayaran.
Mereka juga akan membuat kunjungan rumah sekiranya pasangan tersebut gagal membuat pembayaran dalam tempoh tujuh hari.
Pada 1 Disember 2024, pasangan itu menghantar surat balasan bagi mempertikaikan tanggungan mereka terhadap hutang berkenaan.
Namun, dua pekerja syarikat pemungutan hutang itu tetap mengunjungi rumah pasangan berkenaan pada 3 Disember.
Mereka membunyikan loceng pintu lalu menjerit nama wanita itu dan suaminya.
Wanita itu menelefon polis dan bercakap dengan salah seorang pemungut hutang menerusi interkom.
Wanita berkenaan kemudian keluar dari rumah untuk menjelaskan sebab beliau tidak membuat pembayaran kepada kontraktor terbabit.
Namun, pemungut hutang itu berkali-kali memotong percakapannya dan menuntut supaya pembayaran dilakukan.
Pemungut hutang itu memukul pagar luar rumah beberapa kali sambil menjerit dan mengejek suami wanita berkenaan, yang merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), dengan perkataan menghina seperti “CEO yang hanya pandai cakap kosong (talk cock)”.
Beliau turut mengugut untuk mengunjungi pejabat suami wanita tersebut.
Pemungut hutang itu kemudian menampal ‘notis merah’ pada pintu pagar utama yang memaparkan nama pasangan berkenaan, jumlah hutang, alamat wanita itu serta nama pemiutang.
Menurut Hakim Gan, rakaman video menunjukkan berlakunya tiga pelanggaran undang-undang dalam kunjungan tersebut
Oleh kerana suasana kawasan kejiranan berkenaan “tenang dan agak aman”, tindakan pemungut hutang memukul pagar dan menjerit menuntut pembayaran dianggap sebagai tingkah laku yang berunsur ancaman, jelas hakim.
Kata-kata “talk cock CEO” jelas menghina atau mencerca penghutang, manakala ugutan untuk berkunjung ke pejabat suaminya juga satu bentuk ancaman.
“Pada penilaian saya, mana-mana individu yang rasional akan rasa cemas atau tertekan dengan tindakan-tindakan ini,” kata beliau.
Mengambil kira pelanggaran yang terbukti serta kemungkinan berulangnya kejadian sedemikian, hakim telah meluluskan satu perintah perlindungan.
Di bawah perintah tersebut, syarikat itu dan wakilnya dilarang daripada menggunakan perkataan atau tingkah laku berunsur ugutan, hinaan, atau cercaan yang boleh menyebabkan gangguan, ketakutan, atau tekanan kepada wanita itu atau keluarganya.
Perintah itu juga secara khusus melarang mereka daripada mengunjungi tempat kerja suami wanita berkenaan untuk menuntut hutang yang didakwa itu.
