Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat sawit tersenarai SGX janji kerjasama dengan penguasa berhubung jerebu
Syarikat sawit tersenarai SGX janji kerjasama dengan penguasa berhubung jerebu
Pengeluar minyak sawit, First Resources, berjanji akan bekerjasama sepenuhnya dalam sebarang siasatan atau pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Ini susulan kenyataan bahawa Singapura berhasrat menggunakan semua langkah undang-undang dan peraturan yang ada terhadap syarikat yang dikaitkan dengan jerebu sekarang.
Dalam kenyataan akhbar pada 20 Oktober, syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Singapura (SGX) itu berkata pihaknya mengalu-alukan pemeriksaan menyeluruh yang berasaskan bukti terhadap kebakaran dan keadaan jerebu yang sedang berlaku.
Syarikat itu menegaskan sekali lagi bahawa ia melaksanakan dasar sifar pembakaran yang sudah lama diamalkan di semua operasinya.
Syarikat itu menambah bahawa ia yakin kajian yang objektif terhadap bukti yang ada akan menunjukkan bahawa ia tidak membersihkan tanah dengan api, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dalam kenyataannya, First Resources berkata penilaian tentang punca kebakaran harus berdasarkan fakta yang disahkan, bukti saintifik dan pemahaman menyeluruh tentang keadaan di lapangan.
Kumpulan itu, yang mempunyai nilai pasaran $6 bilion di Singapura, mengalu-alukan kajian dokumen dan teknikal, serta pengesahan di lapangan jika perlu, bagi memberi gambaran yang tepat tentang keadaan sebenar.
Menurut syarikat itu, bukti yang boleh diberikan termasuk kronologi pengesanan titik panas dan perkembangan kebakaran berdasarkan imej satelit, bukti dokumen tentang tindakan yang diambil untuk memadamkan kebakaran, serta analisis ruang yang menunjukkan kawasan pemuliharaan terus dilindungi.
First Resources juga berkata pihaknya terbuka kepada cadangan bernas daripada pengawal selia, pelanggan, pelabur, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dalam industri untuk mengukuhkan pencegahan dan pengurusan kebakaran.
“Mengatasi cabaran jerebu rentas sempadan yang rumit memerlukan kerjasama berterusan antara pemerintah, syarikat, masyarakat setempat dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Kenyataan First Resources itu dikeluarkan selepas syarikat itu berkata pada 16 Oktober bahawa kebakaran dari luar sempadannya telah merebak ke kawasan di bawah pengurusannya, dan tidak bermula dari kawasannya.
Syarikat itu berkata beberapa kebakaran sudah menjadi terlalu besar dan merebak terlalu pantas untuk dikawal walaupun pihaknya berusaha memadamkannya.
Syarikat tersenarai SGX yang lain, termasuk Golden Agri Resources, Bumitama Agri, Wilmar International, Kencana Agri dan Indofood Agri, juga mengeluarkan kenyataan serupa selepas menerima pertanyaan daripada SGX RegCo, badan pengawal selia SGX, tentang operasi mereka dan kemungkinan kaitan dengan jerebu.
TSH Resources masih belum memberi maklum balas.
Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam memberitahu wartawan pada 19 Oktober bahawa kenyataan daripada syarikat-syarikat itu tidak memadai, walau sebaik mana pun ia ditulis.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, menambah bahawa pemerintah akan “meminta fakta lengkap, mempertimbangkan semua bukti dengan adil dan bertindak berdasarkan fakta”.