Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat S’pura jayakan projek pertingkat sistem penyejukan Masjid Nabawi

Dec 27, 2024 | 5:30 AM
Enercon Asia meneraju penggantian sistem konvensional masjid dengan sistem kawalan digital berasaskan sentuhan yang canggih.
Enercon Asia meneraju penggantian sistem konvensional masjid dengan sistem kawalan digital berasaskan sentuhan yang canggih. - Foto PIXABAY

Sebuah syarikat Singapura, Enercon Asia, telah menamatkan satu projek penambahbaikan sistem tenaga untuk penyejukan di Masjid Nabawi, Madinah, di Arab Saudi.

Projek itu – yang bermula sejak Februari lalu dan selesai Disember ini – melibatkan penambahbaikan kepada sistem kawalan digital berasaskan sentuhan canggih bagi masjid tersebut yang merupakan salah satu lokasi paling suci dalam Islam.

Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Encik Azhar Othman, berkata penambahbaikan pada sistem penyejukan itu memanfaatkan sekitar 600,000 jemaah di Masjid Nabawi.

Namun projek tersebut juga menghadapi beberapa cabaran bagi pasukan Enercon Asia semasa ia dilaksanakan.

“Memahami reka bentuk sedia ada adalah langkah kritikal pertama.

“Jurutera perlu menganalisis sistem semasa dengan teliti bagi mencipta pelan naik taraf yang lancar.

“Komponen lama, walaupun masih berfungsi, tidak lagi mempunyai alat ganti yang tersedia. Ini memerlukan pembangunan reka bentuk baru yang menggabungkan komponen moden yang mudah diganti, memastikan penyelenggaraan jangka panjang.

“Selain itu, sistem baru direka agar mesra pengguna, membolehkan pengurusan operasi penyejukan masjid yang lebih cekap,” kata Encik Azhar.

Namun, Encik Azhar enggan mendedahkan nilai projek tersebut. Beliau berkata Enercon dipilih untuk mengendalikannya setelah menjalani proses pemilihan yang terperinci dan bersaing dengan syarikat lain.

Menurut Encik Azhar, projek yang mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk dilaksanakan itu baginya turut menyerlahkan kepakaran Enercon Asia dalam menaik taraf sistem lama selain menyelaraskannya dengan teknologi digital terkini.

Menurutnya lagi, memulakan projek di tapak agama yang berprofil tinggi seperti itu memerlukan perancangan teliti.

“Komitmen pasukan jelas terbukti apabila mereka bekerja lebih 12 jam sehari untuk menyiapkan projek tepat pada waktunya. Kerjasama dengan pasukan tempatan dan pihak berkuasa berjalan lancar, memudahkan permohonan visa, permit kerja serta koordinasi di tapak.

“Keupayaan Enercon Asia untuk menyesuaikan diri dan menghormati nuansa budaya serta logistik tapak projek adalah kunci kepada kejayaannya,” kata beliau.

Sebelum ini Enercon Asia pernah terlibat dalam pelbagai projek antarabangsa, termasuk inisiatif penting di Timur Tengah seperti Jafza di Dubai, ADNOC di Abu Dhabi, KOC di Kuwait dan Nakilat di Qatar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg