Di ambang Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, bersama sukarelawan akar umbi GRC Nee Soon turun padang dari rumah ke rumah bagi menyuntik semangat kepada murid Darjah 6 di kawasan tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook yang dimuat naik pada 23 September, Dr Syed Harun, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, mengagihkan pek prihatin PSLE sebagai tanda sokongan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan nasional berkenaan.

PSLE berlangsung antara 24 dengan 30 September.

“Dengan peperiksaan PSLE bermula esok (24 Sep), pasukan akar umbi di GRC Nee Soon telah mendekati murid Darjah 6 dengan mengagihkan pek prihatin serta memberikan kata-kata semangat sebagai persiapan menghadapi peperiksaan mereka.

“Saya gembira dapat menyertai pasukan Rangkaian Penduduk (RN) Orchid Vista di Nee Soon Link untuk bertemu beberapa penduduk muda kami dan memberikan mereka sokongan serta semangat.

“Saya berharap agar semua murid yang menduduki PSLE meraih kejayaan dalam peperiksaan mereka pada hari-hari mendatang,” tulisnya dalam hantaran itu.

Pek prihatin itu mengandungi pelbagai barangan termasuk alat tulis, minuman Milo, gula-gula Ribena, keropok Super Ring, rantai kunci serta nota peribadi daripada Dr Syed Harun.

Di samping itu, beliau mengingatkan mereka supaya tidak terlalu dibelenggu rasa bimbang ketika menghadapi peperiksaan tersebut.

“Kepada semua murid Darjah 6, hadapi peperiksaan dengan tenang, yakin pada kemampuan diri dan lakukan yang terbaik.

“Kami semua menyokong anda. Anda boleh lakukannya,” kata Dr Syed Harun.