Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Harun: Bahasa Melayu taut hubungan sesama insan
Syed Harun: Bahasa Melayu taut hubungan sesama insan
Bahasa Melayu bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, bahkan ia berkuasa untuk memupuk hubungan sesama manusia dan membentuk cara masyarakat mentafsir dunia, merumuskan hujah serta memahami sudut pandang berbeza.
Demikian kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, di acara Kampung Bijak yang berlangsung di Kelab Masyarakat Geylang Serai, sempena Bulan Bahasa, pada 12 September.
“Sempena Bulan Bahasa, saya berharap agar para pelajar bukan sahaja dapat memperkukuhkan kemahiran bahasa Melayu yang dipelajari, malah berpeluang mengaplikasikannya dalam kehidupan harian.
“Penggunaan bahasa Melayu secara aktif dalam berkomunikasi, berkongsi idea dan berinteraksi bersama rakan-rakan akan menjadikan pembelajaran bahasa lebih bermakna dan menyeronokkan,” ujar Dr Syed Harun.
Kampung Bijak merupakan sebuah acara masyarakat dipimpin pelajar yang dianjurkan oleh Pusat Jagaan Pelajar 7oaks, di bawah kendalian PPIS.
Acara yang memasuki edisi kelima itu memaparkan lapan reruai interaktif yang dikendalikan oleh kanak-kanak dari dua pusat PPIS 7oaks Student Care di Bedok dan Jurong.
Kanak-kanak itu diberi peluang memainkan peranan utama sebagai usahawan muda yang membolehkan mereka memupuk rasa tanggungjawab dalam diri, sambil mengasah kreativiti, keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran komunikasi, kata PPIS dalam satu kenyataan pada 12 September.
