Topik diikuti
Pergi ke BHkuDirektori M³+ dilancar Ogos, galak kerjasama cipta penyelesaian bersama
Direktori M³+ dilancar Ogos, galak kerjasama cipta penyelesaian bersama
Logo baru cermin ekosistem semakin meluas
Direktori M³+ dilancar Ogos, galak kerjasama cipta penyelesaian bersama
Satu direktori baharu bagi memudahkan perkongsian program, kepakaran dan rangkaian dalam kalangan organisasi masyarakat akan dilancarkan pada Ogos ini.
Direktori M³+ tersebut, yang diterajui oleh PPIS dan AMP Singapura bersama Pejabat Penyelarasan Pendampingan M³ (Eco), akan berfungsi sebagai pusat rujukan setempat bagi organisasi, M³+@Towns dan rakan M³+ untuk lebih memahami serta menghubungkan penduduk kepada sokongan yang tepat.
Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan kerjasama yang lebih baik dalam mencipta penyelesaian bersama, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
“Ia (Direktori M³+) akan memudah cara organisasi, M³+@Towns dan rakan kongsi kita untuk meneroka program, kepakaran dan rangkaian satu sama lain.
“Ini sekali gus membantu kita membina kerjasama baharu serta menghubungkan penduduk kepada sokongan yang tepat,” kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata demikian semasa Sesi Jaringan M Kuasa Tiga+ (M³+) yang kedua bersama badan Melayu/Islam (MMO), badan India Muslim (IMO), dan agensi M³+, termasuk Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), pada 30 Julai.
Ini juga kali pertama badan-badan MMO, IMO, dan agensi M³+ berkumpul bersama Encik Zaqy sejak beliau mengambil alih peranan pemangku menteri daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 20 Julai lalu.
Selain itu, logo M³+ yang diperbaharui turut dilancarkan, untuk mencerminkan “ekosistem kita yang kian meluas, merangkumi organisasi masyarakat, sukarelawan, M³+@Towns dan agensi awam yang bekerjasama,” tambahnya.
Sesi yang diadakan di Wisma Geylang Serai itu dihadiri lebih 180 pemimpin, dan buat julung-julung kalinya, dianjurkan bersama oleh AMP Singapura dan PPIS, dengan kerjasama M³ Eco yang dipimpin oleh Persatuan Rakyat (PA).
Sesi jaringan pertama telah dilaksanakan pada 17 April lalu di bawah pimpinan Dr Faishal.
Di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026, Dr Faishal telah mengetengahkan perancangan untuk memulakan beberapa siri perbualan yang lebih teliti tentang apa yang boleh dilakukan bersama, serta meluaskan M³ kepada M³+.
Encik Zaqy meneruskan usaha tersebut selaras dengan hasrat yang dikongsinya pada 20 Julai lalu, untuk bekerjasama rapat dengan jaringan M³+, para sukarelawan dan rakan kongsi masyarakat demi memperjuangkan program pembinaan masyarakat.
Ketika berucap semasa sesi tersebut, Encik Zaqy berkata bahawa fasa seterusnya bagi M³+ ialah usaha penciptaan bersama, atau co-creation.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan kesinambungan daripada usaha pendampingan serta kepercayaan yang dibina bersama Dr Faishal sepanjang tempoh hampir 14 bulan beliau menjawat jawatan pemangku menteri.
“Sambil kita memulakan fasa seterusnya bersama, tugas kita adalah untuk menterjemahkan pandangan tersebut kepada tindakan dengan mencipta bersama penyelesaian, program, mahupun dasar.
“Ini adalah mengenai menghimpunkan kekuatan agensi pemerintah, kepakaran dan hubungan penuh kepercayaan pertubuhan Muslim kita, jangkauan M³+@Towns kita, serta komitmen para sukarelawan dan pemimpin masyarakat kita untuk mencipta penyelesaian yang membawa perbezaan nyata di peringkat akar umbi,” katanya.
Encik Zaqy juga percaya setiap kumpulan membawa kelebihan masing-masing, antaranya, agensi pemerintah yang membawa sumber, keupayaan dan kepakaran dasar.
Pertubuhan Muslim membawa pengetahuan dan kepercayaan masyarakat, manakala M³+@Towns pula memahami keperluan penduduk di peringkat akar umbi.
Jika kesemua sumber itu disatukan, idea, program dan hasil yang lebih baik dapat disediakan buat masyarakat, ujar Encik Zaqy.