Adalah sebahagian daripada DNA rakyat Singapura untuk hidup harmoni dan meraikan kepelbagaian, kata Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Usaha sedemikian, tambah beliau, membolehkan masyarakat Singapura mencari persamaan antara satu sama lain dan memperkukuh perpaduan demi kebaikan bersama, termasuk mencapai matlamat nasional.
Dr Syed Harun berkata demikian semasa majlis Perhimpunan Pertengahan Tahun Kelab Berbilang Negara Darul Arqam Singapura di The Cove, City Plaza.
Acara yang berlangsung pada 20 Julai itu dianjurkan sempena Hari Keharmonian Kaum yang jatuh pada 21 Julai dan sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).
Mengalu-alukan acara tersebut, Dr Syed Harun berkata melalui acara seperti ini, orang ramai dapat memupuk sifat kesefahaman serta ingin tahu tentang kepelbagaian dalam masyarakat.
“Sifat kesefahaman dan ingin tahu tentang kepelbagaian dalam masyarakat berlainan ini boleh menyumbang kepada keharmonian negara juga dan saya rasa acara seperti ini memberi peluang kepada orang ramai agar saling mengenali adat serta budaya dan agama berlainan.
“Sempena Hari Keharmonian Kaum ini, saya harap orang ramai juga dapat merenungkan segala kebaikan keharmonian dalam negara kita,” tambah Dr Syed Harun.
Acara tahunan Darul Arqam itu memberi tumpuan kepada usaha merangkumi semua budaya dalam kalangan mualaf dan mencerminkan nilai masyarakat majmuk Singapura yang lebih luas.
Seawal 10.30 pagi, ramai individu berlainan bangsa dan berpakaian warna-warni sudah hadir menyerikan acara tersebut.
Ini termasuk orang awam, sukarelawan, rakan kerja dan wakil daripada lebih 13 etnik berbeza.
“Agama kita menggalakkan kita untuk bersikap ingin tahu, mendekati orang lain dan membina jambatan.
“Inilah juga yang perlu dilakukan oleh masyarakat Singapura untuk terus maju,” tekan Dr Syed Harun.
Acara itu menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan daripada kumpulan etnik di bawah Kelab Berbilang Negara Darul Arqam.
Ini termasuk persembahan muzik dengan Guzheng dan Pipa, tarian tradisional Jepun Bon Odori, tarian Ratoh Jaroe dari Indonesia, tarian buluh Tinikling dari Filipina, serta persembahan muzik tradisional dari Myanmar.
Para hadirin turut berpeluang menyaksikan gerai budaya interaktif yang menampilkan pakaian tradisional, kraf tangan dan sajian halal dari pelbagai budaya.
Hadirin turut menyaksikan pelancaran rasmi logo baru Kelab Berbilang Negara Darul Arqam serta temanya iaitu ‘Membina Budaya, Satu Degupan’.
Logo tersebut melambangkan penyatuan kumpulan budaya yang sebelum ini beroperasi secara berasingan di bawah satu identiti bersama.
Mengulas tentang logo baru itu, Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna, berkata ia akan menyatukan semua kumpulan berbeza di bawah Darul Arqam.
“Logo ini tidak gunakan warna kulit atau pelbagai bahasa. Ia gunakan bahasa kebangsaan kita, sebagai simbol bahawa kita satu masyarakat besar yang bersatu melalui nilai dan rasa hormat bersama,” katanya.
Kelab Berbilang Negara kini terdiri daripada kumpulan budaya berlainan seperti Jepun, Filipina, Myanmar dan Cina.
Kelab-kelab ini ditubuhkan untuk menyokong mualaf daripada pelbagai latar belakang menerusi bimbingan, sokongan rakan sebaya dan ikatan budaya.
Antara mereka yang terlibat dalam kelab ini adalah Cik Keiko Soeda, Ketua Kelab Sakura yang menampilkan budaya Jepun.
“Saya rasa Singapura sangat unik di mana terdapat begitu banyak kaum yang berbeza memeluk Islam.
“Adalah sangat menggalakkan untuk melihat dan menghadiri acara seperti ini kerana saya dapat bertemu dengan orang dari latar belakang yang berbeza, negara yang berbeza.
“Melalui usaha ini, kita dapat bergaul dan bukan saja belajar tentang agama tetapi budaya satu sama lain,” kata ibu tiga anak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg