Islam ialah agama yang menekankan akhlak yang tinggi dan adab mulia terhadap semua manusia tanpa mengira latar belakang mereka.
Ia sama sekali tidak membezakan manusia berdasarkan keturunan, kedudukan sosial, warna kulit atau bangsa.
Sebaliknya, Islam menetapkan bahawa ukuran sebenar kelebihan seseorang di sisi Allah swt ialah ketakwaan dan amal soleh.
Dalam salah satu khutbah terakhirnya, Nabi Muhammad saw bersabda:
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu (Nabi Adam) juga satu. Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang bukan Arab, dan tidak juga orang bukan Arab atas orang Arab, tidak pula orang berkulit putih atas orang berkulit hitam, atau orang berkulit hitam atas orang berkulit putih, melainkan dengan takwa.” (HR Baihaqi)
Hadis ini menegaskan bahawa Islam ialah agama yang menolak segala bentuk diskriminasi dan ketidakadilan sosial.
Nilai ini amat penting dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Singapura, di mana keseluruhan identiti negara ini berpaksikan kepelbagaian masyarakatnya.
Singapura bukan sebuah negara yang dikenali dengan satu bangsa yang dominan, sebaliknya sebuah masyarakat yang dibangunkan oleh pelbagai kaum yang bekerjasama membentuk negara yang lebih kuat dan bersatu.
Baginda telah diutuskan ke Tanah Arab pada suatu ketika tatkala masyarakat jahiliah ketika itu mengamalkan pelbagai bentuk diskriminasi, khususnya terhadap individu berkulit hitam yang kebanyakannya dijadikan hamba.
Namun, setelah kedatangan Islam, seluruh lapisan masyarakat disatukan di bawah panji keimanan, tanpa mengira kedudukan sosial atau warna kulit.
Rasulullah saw telah berusaha sedaya upaya untuk mendidik umat Islam tentang kepentingan perpaduan serta menjauhkan mereka daripada bersikap rasis dalam apa jua bentuk.
Dalam sebuah peristiwa yang diriwayatkan daripada Jabir ra, beliau berkata:
“Telah berlaku satu pergaduhan antara dua orang pemuda, seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang lagi daripada golongan Ansar.
“Maka pemuda daripada kalangan Muhajirin (atau golongan Muhajirin itu sendiri) telah menyeru: ‘Wahai golongan Muhajirin!’
“Dan pemuda daripada kalangan Ansar pula menyeru: ‘Wahai golongan Ansar!’ Lalu Rasulullah saw keluar menemui mereka dan bersabda: ‘Apakah ini? Adakah ini seruan jahiliah?” (HR Bukhari)
Hadis ini dengan jelas menggambarkan kecaman Baginda terhadap seruan yang bersifat perkauman, walaupun ia berlaku dalam kalangan sahabat yang mulia seperti golongan Muhajirin dan Ansar.
Ketika berlaku pertelingkahan antara dua pemuda, masing-masing segera memanggil kelompok mereka sendiri, seolah-olah ingin membangkitkan semangat kesukuan dan perpecahan.
Baginda tidak menumpukan kepada siapa yang memulakan pertelingkahan atau siapa yang bersalah, sebaliknya memberi perhatian kepada punca utama, iaitu apabila identiti sebuah kelompok dijadikan alasan untuk membela diri secara membuta tuli.
Maka, di sinilah garis pemisah perlu dijelaskan dan prinsip Islam ditegakkan.
Rasulullah saw juga segera mengecam tindakan tersebut sebagai seruan jahiliah, iaitu cara berfikir dan bertindak yang tidak selari dengan ajaran Islam serta menyerupai pemikiran masyarakat jahiliah terdahulu yang sering mencetuskan perbalahan dan diskriminasi.
Prinsip ini selari dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu.”
Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa kepelbagaian bangsa bukan alasan untuk kita bersengketa atau berasakan diri lebih mulia daripada orang lain.
Sebaliknya, ia adalah ruang untuk kita saling menghormati.
Perkara ini amat relevan dalam konteks masyarakat kita hari ini, terutama di alam pekerjaan.
Ada individu yang berbakat dan rajin, namun mereka dinafikan gaji yang lebih tinggi atau pangkat yang lebih baik hanya kerana berlakunya diskriminasi berdasarkan warna kulit.
Ada juga yang sering kali cuba mengelakkan diri daripada tinggal berjiran dengan kaum tertentu kerana stereotaip dalam fikiran mereka, yang akhirnya menghalang mereka daripada bersikap baik dan bermesra dengan jiran tetangga.
Kita sebagai masyarakat Islam perlu berani mengenal pasti pelbagai bentuk sikap berat sebelah yang masih wujud dalam diri dan masyarakat kita.
Ini amat penting, terutama apabila kita merupakan kumpulan agama minoriti di Singapura.
Maka, adakah kita benar-benar menjunjung tinggi prinsip perpaduan kaum yang diajarkan oleh Islam, atau adakah kita akan terus dibelenggu oleh penyakit keangkuhan dan seterusnya sikap rasis, yang menjadi penghalang kepada kemajuan dan keharmonian masyarakat kita sendiri?
Merendahkan seseorang hanya kerana warna kulit dan asal bangsanya bermakna menyalahi ajaran Rasulullah saw; bagi seorang Muslim, bersikap rasis bukan sahaja memalukan diri, malah mencemarkan nama agama.
Antara cara paling ketara menghina orang lain ialah menggunakan kata-kata berbaur perkauman.
Diriwayatkan bahawa Abu Zar ra pernah mencela seorang lelaki dengan menghina ibunya yang bukan Arab dan berkulit hitam.
Apabila Rasulullah saw mendengar hal itu, Baginda menegur: “Adakah engkau mencelanya dengan menyebut ibunya?”
Lalu Baginda menambah, “Sesungguhnya dalam dirimu masih ada sifat jahiliah.” HR Muslim.
Teguran tegas itu menunjukkan betapa kerasnya Islam mengecam keangkuhan yang lahir daripada rasa diri lebih mulia berbanding orang lain, dan menganggapnya sekali lagi seperti perbuatan jahiliah yang silam.
Tersentak dengan nasihat Nabi, Abu Zar segera bertaubat.
Seorang tabiin meriwayatkan bahawa beliau melihat Abu Zar di al-Rabazah, memakai sepasang pakaian yang sama seperti pakaian pembantunya, tanda beliau benar-benar insaf dan mempraktikkan ajaran Rasulullah saw tentang erti sama rata.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menjaga lidah mereka daripada melontarkan kata-kata berunsur perkauman, apatah lagi dalam keadaan marah atau konflik.
Menghina seseorang atas dasar bangsanya bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah menunjukkan kekurangan akhlak dan iman seseorang.
Lebih membimbangkan apabila perkauman dijadikan bahan gurauan atau hiburan dalam kalangan kita.
Walaupun mungkin dianggap biasa oleh sesetengah pihak, perbuatan seperti itu tetap salah dan tidak wajar.
Ia mencerminkan siapa kita yang sebenar, dan bagaimana kita menghormati orang lain serta mencerminkan tahap keimanan kita sebagai umat Nabi Muhammad saw.
Seorang Muslim yang benar-benar memahami ajaran Baginda akan sentiasa berhati-hati dalam percakapannya dan menjaga maruah orang lain.
Berhati-hatilah sebelum berbicara, contohi sikap Abu Zar yang segera akur selepas ditegur, dan ingatlah, jika kita mahu orang lain menghormati bangsa kita, kita sendiri harus terlebih dahulu menzahirkan penghormatan kepada orang lain.
Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg