Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pendidikan), Dr Syed Harun Alhabsyi, telah mengambil alih peranan sebagai pengerusi bersama Pasukan Petugas Silang Agensi bagi Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya daripada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ia menyusuli pengumuman Dr Faishal dalam satu hantaran Facebook pada 17 Jun bahawa beliau telah melepaskan peranan tersebut, namun akan kekal berkhidmat sebagai penasihat kepada pasukan petugas berkenaan.

Dr Faishal menambah, beliau akan menyokong Dr Syed Harun, dan pengerusi bersama pasukan petugas itu, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, serta agensi terlibat dalam memajukan usaha penting ini.

Pasukan petugas yang dibentuk pada Februari 2025 itu menggabungkan agensi utama untuk mengkaji cara menyokong perniagaan warisan.

Ia juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di Singapura dalam menyemak dan mengemas kini dasar penggunaan tanah bagi gabungan penggunaan lebih mantap dalam mengekalkan ciri kawasan bersejarah.

Ini di samping menyajikan pelbagai tawaran bagi memenuhi pilihan pengunjung yang kian berubah.

“Ketika saya mengundurkan diri sebagai pengerusi bersama Pasukan Petugas, saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa rakan sejawat saya, Dr Syed Harun akan mengambil alih peranan ini.

“Ramai dalam kalangan anda sudah mengenali beliau melalui sesi libat urus dan perbincangan kita.

“Beliau membawa bersama tenaga, komitmen, serta penghayatan yang mendalam terhadap isu dan peluang yang terdapat di kawasan warisan kita...

“Saya kekal komited sepenuhnya terhadap kejayaannya dan akan terus memberikan sokongan saya (dengan) berkhidmat sebagai penasihat kepada Pasukan Petugas dan menyokong Dr Syed Harun serta agensi yang terlibat dalam meneruskan usaha penting ini,” kata Dr Faishal.

Dalam hantaran Facebook yang berasingan, Dr Syed Harun menyatakan bahawa beliau telah mula bertemu dengan pihak berkepentingan lain di Kampong Gelam dan turut berharap dapat mendekati pihak berkepentingan lain di Chinatown serta Little India dalam masa terdekat.

“Sedang saya menyesuaikan diri dengan peranan saya, saya telah mula bertemu dengan pihak berkepentingan di Kampong Gelam.

“Melalui perbualan bersama pemilik perniagaan dan pemimpin masyarakat, saya dapat menghayati dengan lebih mendalam tentang peluang dan juga cabaran yang dihadapi oleh kawasan bersejarah kita.

“Pandangan dan komitmen mereka telah memperkukuh kepentingan mengimbangi antara pertumbuhan dengan warisan, serta perubahan dengan kesinambungan.

“Saya juga berharap dapat mendekati pihak berkepentingan di Chinatown dan Little India dalam masa terdekat,” kata Dr Syed Harun.

Dengan pengalamannya di Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan penglibatan dengan golongan belia dan masyarakat daripada pelbagai lapisan masyarakat, Dr Syed Harun berkata beliau komited untuk menyumbang secara bermakna kepada usaha di Kampong Gelam, Chinatown dan Little India.