Syed Harun sertai acara pembukaan Penghubung Taman Empangan Yishun
Syed Harun sertai acara pembukaan Penghubung Taman Empangan Yishun
Syed Harun sertai acara pembukaan Penghubung Taman Empangan Yishun
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), merangkap Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, telah menyertai penduduk bersama Rangkaian Sukan Komuniti Nee Soon Link bagi acara ‘Dam Good Walk, Refreshed’.
Berlangsung pada 8 Februari, acara tersebut menandakan pembukaan rasmi Penghubung Taman Empangan Yishun (Yishun Dam Park Connector) sepanjang 1.6 kilometer yang baru dibangunkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Selain kegiatan berjalan pantas, Dr Syed Harun juga telah ikut serta dalam kegiatan menimbus tanah bagi penanaman pokok dan sesi yoga beramai-ramai.
“Kami berbesar hati menerima kehadiran Dr Syed Harun Alhabsyi, Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Nee Soon, yang turut berjalan bersama kami, menyampaikan kata-kata semangat dan merasmikan pembukaan semula empangan melalui acara penanaman pokok yang bermakna bersama para pemimpin masyarakat dan rakan kongsi kami.
“Satu sesi yoga yang menenangkan turut diadakan di tepi empangan, menjadi peringatan mesra bahawa gaya hidup aktif mampu memberikan kesejahteraan dalam pelbagai cara.
“Acara jalan santai ini diakhiri dengan suasana perayaan yang meriah melalui pemberian limau Mandarin dan nasi lemak oleh penasihat kami serta para sukarelawan masyarakat, sekali gus menceriakan suasana dengan kehangatan dan semangat kampung yang kental pada pagi tersebut,” kata Rangkaian Sukan Komuniti Nee Soon Link dalam satu catatan Facebook pada 8 Februari.
Menurut laporan pada Mei 2024, persimpangan jalan di kededua belah Empangan Yishun dijadualkan untuk diperluaskan menjelang 2026 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut semasa waktu sibuk pada pagi dan petang.
Tiga persimpangan trafik akan diperluas dan diatur semula – di Yishun Avenue 1 dan Yishun Avenue 8, Yishun Avenue 1 dan Seletar West Link, serta Seletar West Link dan West Camp Road.
Ia dilakukan agar kenderaan yang menuju ke Seletar North Link melalui Seletar West Link sebaliknya akan menggunakan West Camp Road, tambah laporan itu.
Sementara itu, mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh, turut berkongsi dalam satu catatan Facebook pada September 2024 bahawa projek NParks bagi Empangan Yishun telah bermula dan dijadual siap pada separuh kedua 2025.

