TAA agih rekod tertinggi $1.77j sejak 2023
Sebagai seorang ibu tunggal dengan tiga anak kecil yang tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan, setiap bantuan yang diterimanya ibarat talian hayat – tidak kira jumlahnya.
Justeru bantuan kewangan dan barangan dapur yang diterima Cik Nurul Jamilah Rosli daripada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) amat dialu-alukan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian, terutama menjelang Hari Raya.
Cik Nurul merupakan antara 3,543 penerima yang menerima bantuan sebanyak $500 bagi setiap isi rumah daripada TAA tahun ini.
Beliau juga antara 55 penerima troli berisi barangan – termasuk bahan memasak, makanan dan keperluan rumah – semasa Majlis Pengagihan Sinar Ramadan anjuran TAA dengan kerjasama Maybank pada 15 Mac di Wisma Geylang Serai.
Berucap di majlis tersebut sebagai tetamu terhormat, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata jumlah keseluruhan pengagihan tahun ini mencecah $1,771,500 – yang tertinggi direkodkan sejak 2023.
“Ramai keluarga-keluarga kita yang berkeperluan.
“Kami menyeru kepada semua lapisan masyarakat, muda dan tua, yang boleh menyumbang bakti, menyumbang tenaga, menyumbang derma agar tampil sumbang kepada TAA,” kata Encik Zulkharnain.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Mac, TAA berkata ia menyalurkan purata $1.3 juta setiap Ramadan dalam tempoh lima tahun lalu kepada lebih 3,000 penerima bantuan setiap tahun.
“TAA telah berkembang menjadi salah satu inisiatif kebajikan utama masyarakat yang menyokong keluarga yang memerlukan di seluruh Singapura,” katanya.
Pengagihan dana TAA dan barangan dapur ini memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang, angin ahmar, barah dan kencing manis.
Cik Nurul memberitahu Berita Harian (BH) bahawa bantuan daripada TAA itu banyak membantu menampung perbelanjaan rumah, terutama dengan keadaan kesihatannya.
“Oleh kerana saya mengalami slip disc dan kecederaan lutut, saya tidak dapat bekerja.
“Dengan tiga anak yang perlu disara, bantuan wang dan barangan dapur ini amat membantu, lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Syawal yang makin hampir,” katanya.
Beliau mempunyai tiga anak berusia tujuh, lapan dan sembilan tahun.
Semasa acara itu, peserta disajikan dengan persembahan lagu duet khas oleh Duta TAA, Encik Art Fazil, bersama penerima bantuan TAA, Cik Tini Abdul, seorang ibu tunggal kurang upaya.
Bersempena majlis pengagihan tersebut, TAA kini giat mengumpul dana bagi pengagihan pada tahun-tahun akan datang melalui platform cetak, elektronik dan media sosial, selain turut hadir di bazar-bazar Raya utama termasuk di Geylang Serai, Kampung Gelam dan Celebfest.
Kempen Amal Ramadan dan Aidilfitri TAA menyasarkan kutipan keseluruhan sebanyak $1.9 juta sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah pemohon pada tahun-tahun mendatang.

