Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TAA sasar raih $1.5j semasa Ramadan

Jumlah derma yang lebih kepada penerima bantuan TAA termasuk golongan fakir miskin, kurang upaya
Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Cik Rahmah A. Aziz adalah wajah individu yang dipilih menghiasi poster dan grafik untuk Kempen Dana Amal TAA 2025. Di kiri beliau ialah suaminya, Encik Mohamed Da’an, serta anak-anak istimewa mereka, Encik Azlan Shah (ketiga dari kiri) dan Muhammad Nur Hafiz.
Cik Rahmah A. Aziz adalah wajah individu yang dipilih menghiasi poster dan grafik untuk Kempen Dana Amal TAA 2025. Di kiri beliau ialah suaminya, Encik Mohamed Da’an, serta anak-anak istimewa mereka, Encik Azlan Shah (ketiga dari kiri) dan Muhammad Nur Hafiz. - Foto TABUNG AMAL AIDILFITRI

“Seikhlas Sumbangan, Semanis Senyuman” tema Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bagi tahun 2025 ini.

Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025 ini berlangsung dari 15 Februari sehingga 31 Mac. Ihsan penderma Singapura amat diharapkan agar pengagihan derma dapat diselenggarakan pada hujung Ramadan tahun ini.

Jumlah dana yang berjaya dikumpulkan TAA sepanjang Ramadan tahun 2024, secara keseluruhan ialah $1.4 juta. Sekitar 3,200 penerima bantuan tahun lalu telah menerima agihan Ramadan sebanyak $450 bagi setiap keluarga.

Menyentuh tentang matlamat dan sasaran jumlah kutipan dana TAA untuk tahun 2025 ini, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najib Sahib, berkata:

“Sasaran jumlah kutipan derma untuk Kempen Dana Amal TAA-Ramadan kali ini ialah sebanyak $1.5 juta. Ini bagi membolehkan kami mengagihkan jumlah derma yang lebih kepada penerima bantuan TAA tahun ini termasuk golongan fakir miskin dan golongan kurang upaya.”

Menyentuh tentang golongan penerimanya, Pengurus Besar Sementara TAA, Cik Huda Aljunied, berkata:

“Hampir 75 peratus golongan penerima bantuan kami tinggal di flat-flat sewa satu atau dua bilik HDB. Hampir 90 peratus pula, merupakan golongan berpendapatan per kapita sekitar $500 sebulan dan lebih daripada 30 peratus terdiri daripada golongan warga emas dan warga senja yang berusia 65 tahun ke atas.”

Seperti tahun-tahun lalu, Kempen Dana Amal TAA-Ramadan menampilkan wajah individu tertentu untuk menghiasi poster-poster dan grafik kempen.

Bagi tahun 2025 ini, wajah individu yang dipilih untuk Kempen Dana Amal TAA 2025 ialah Cik Rahmah A. Aziz, 60 tahun. Cik Rahmah merupakan penerima bantuan TAA yang pernah mengalami angin ahmar sehingga menyebabkan kesihatan dan pergerakannya terjejas. Beliau kini terpaksa berkerusi roda.

Cik Rahmah mempunyai dua anak lelaki istimewa. Anak sulung, Encik Muhammad Nur Hafiz berusia 39 tahun, sementara yang bongsu, Encik Azlan Shah, berusia 35 tahun. Kedua-dua anak Cik Rahmah mengalami spektrum autisme dan memerlukan penjagaan dan pengawasan penuh.

Suaminya, Encik Mohamed Da’an, 71 tahun, pula merupakan satu-satunya penjaga utama keluarga mereka.

Ini termasuklah menjaga kebersihan, makan minum anak-anak istimewa mereka, serta memastikan keperluan ubat-ubatan dan rawatan isterinya terjaga.

“Pada mulanya, saya tidak faham kenapa saya kena hadapi cabaran dan ujian luar biasa ini. Tapi dengan gerakan Allah swt, saya bertekad akan bersabar. Sekarang, saya gembira melayan kerenah kedua-dua anak istimewa kami ini,” ujar Encik Mohamed.

Biarpun berat tanggungjawab yang dipikul Encik Mohamed, beliau tetap cekal dan tabah menjalani kehidupannya. Beliau dan isterinya memastikan perhubungan mereka sekeluarga sentiasa positif dan gembira.

Cik Rahmah pula menambah:

“Saya sangat bersyukur kepada Allah atas jasa baik penderma yang telah memberi dengan ikhlas kepada TAA untuk menolong keluarga yang memerlukan seperti kami, yang tidak berdaya dan harus menjaga sepenuh masa anak-anak istimewa kami.”

SEKILAS

Sumbangan masyarakat merupakan sumber utama dana untuk Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025. Para penderma boleh menyalurkan derma mereka melalui berbagai-bagai kaedah berikut:

1. PayNow ke T06CC1974E.

2. Platform menderma dalam talian Giving.sg di URL tinyurl.com/giving-sg-taa

3. Pemindahan ke dalam akaun bank DBS 027-01512-7.

* Senarai maklumat dan pautan talian bagi semua kaedah menderma boleh didapati di laman taa.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg