Topik diikuti
Pergi ke BHkuTabah teruskan kehidupan meski diuji kehilangan anak
Tabah teruskan kehidupan meski diuji kehilangan anak
Menempuhi kesusahan merupakan lumrah kehidupan, namun apa yang lebih penting ialah keupayaan seseorang untuk bangkit semula setiap kali berdepan cabaran.
Pengajaran inilah yang dikongsi Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun, ketika mengimbas kembali perjalanan hidupnya sempena penerimaan Anugerah Perkasa Berita Harian (BH)-Maybank 2026.
Anugerah itu mengiktiraf individu yang berjaya mengatasi kesusahan dan halangan sosioekonomi serta menunjukkan kecemerlangan dalam mobiliti sosial.
Ia diberikan buat kali pertama sempena Anugerah Jauhari BH 2026, yang dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah itu turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, sementara AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) merupakan rakan masyarakat.
Pada April lalu, Cik Nurhumaira kehilangan anak lelakinya yang baru berusia empat bulan akibat komplikasi atrofi otot spina (SMA).
SMA merupakan penyakit yang menyebabkan otot semakin melemah dan mengecil akibat kerosakan sel saraf di saraf tunjang dan batang otak.
“Pada mulanya dia hanya boleh menggerakkan tangannya, dan tidak mampu menggerakkan kakinya.
“Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan dia mungkin menghidap SMA.
“Jadi, kami membawanya ke hospital untuk pemeriksaan rutin.
“Ketika itulah doktor meminta pemeriksaan perubatan yang lebih mendalam dilakukan sebelum dia disahkan menghidap SMA.”
Cik Nurhumaira mengimbas kembali keputusan sukar yang terpaksa dibuat apabila berdepan dua pilihan.
Pilihan yang pertama adalah mengumpul dana sebanyak $2.4 juta bagi membiayai terapi gen untuk merawat penyakit itu.
Namun, rawatan tersebut tidak dapat memulihkan kerosakan yang telah berlaku, memandangkan SMA merupakan penyakit yang semakin merosot dari semasa ke semasa.
Pilihan kedua pula adalah membuat persiapan untuk penjagaan paliatif.
“Dia akan terlantar di katil sepanjang hayatnya, dan saya tidak mahu perkara itu untuk anak saya.
“Jadi, kami mengambil masa yang lama sebelum membuat keputusan untuk memilih penjagaan paliatif.
“Ketika itu, saya masih menyimpan harapan bahawa mungkin dia dapat hidup sehingga berusia setahun, malah lima tahun.
“Namun, akhirnya dia meninggal dunia pada usianya lapan bulan.
“Apabila saya melihat ibu-ibu lain meraikan hari lahir pertama anak mereka dan berkongsi detik itu menerusi media sosial, saya tidak dapat menahan air mata.
“Saya berasa sangat sedih dan cemburu,” kongsi Cik Nurhumaira, jelas cuba menahan air matanya.
Meskipun sebelum ini tidak pernah menjadikan penulisan jurnal sebagai kebiasaan, kesedihan akibat kehilangan anak mendorong beliau bermuhasabah dan meluahkan perasaannya melalui penulisan, yang sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan kepiluan hati.
“Pada mulanya, saya berasa terkilan dengan Allah, dan keadaan itu amat membimbangkan saya.
“Jadi, saya mula mengambil langkah meluahkan fikiran dan perasaan saya kepada suami.
“Saya juga mula banyak bermuhasabah dan mula menulis jurnal.
“Saya belajar berdepan dengan kenyataan.
“Penulisan di jurnal membantu saya memahami dan memproses apa yang telah berlaku.
“Lama-kelamaan, saya mula sedar bahawa perkara sebegini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Inilah dinamakan kehidupan,” ujar beliau.
Keupayaan Cik Nurhumaira untuk bangkit semula setiap kali berdepan cabaran bukanlah sesuatu yang asing baginya.
Sejak berusia sembilan tahun, beliau membesar tanpa kehadiran bapanya yang menjalani hukuman penjara selama enam tahun, selain terpaksa mengharungi kesempitan kewangan.
Ibunya pula terpaksa banting tulang melakukan tiga pekerjaan bagi menampung keperluan lapan anak, menyebabkan beliau perlu belajar berdikari sejak kecil tanpa mendapat banyak bimbingan daripada orang tuanya.
“Ketika itu, saya berasa terkilan dan tertanya-tanya mengapa remaja lain yang sebaya dengan saya dapat berseronok, membaiki diri atau melancong ke luar negara, sedangkan saya terpaksa memikirkan kesusahan yang dialami bapa saya.
“Keadaan itu membuatkan saya berasa seolah-olah tidak berpeluang menikmati zaman remaja seperti orang lain.
“Namun, apabila dikenang kembali, kesusahan yang dilalui itu membuatkan saya lebih menghargai ibu saya,” katanya.
Meskipun dibesarkan dalam keadaan sedemikian, beliau tetap memberikan tumpuan kepada pelajaran dan meraih gred cemerlang dalam tujuh mata pelajaran semasa peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah St Andrew (SAJC), sambil bekerja sambilan sebagai pembantu runcit bagi menampung perbelanjaan pengajiannya sendiri.
Akhirnya, beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan meraih ijazah kepujian tertinggi.
Kini, beliau berkhidmat sebagai pengurus dasar di Kementerian Undang-Undang (MinLaw) Singapura.
Hari ini, Cik Nurhumaira telah mencapai pelbagai kejayaan yang suatu ketika dahulu hanya menjadi impiannya.
Beliau kini memiliki rumah sendiri dan turut membina kerjaya kedua sebagai jurulatih kecergasan peribadi bertauliah, kelayakan yang diusahakannya sambil bekerja sepenuh masa.
Selain melatih pelanggan, beliau turut berkongsi perjalanan kecergasan dan kehidupannya menerusi akaun TikTok, @mai_fitness_, yang menjadi wadah untuk memberi inspirasi kepada ribuan wanita agar terus berusaha membaiki diri.
Bagi Cik Nurhumaira, mesej yang ingin disampaikannya bukanlah tentang mencapai kesempurnaan, tetapi tentang pentingnya ketekalan, ketabahan dalam menghadapi cabaran dan mencari kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan dalam kehidupan.
Prinsip inilah yang menjadikan Anugerah Perkasa BH-Maybank 2026 yang diterimanya begitu bermakna bagi Cik Nurhumaira, kerana beliau dapat buktikan bahawa kesusahan yang dilaluinya sejak kecil tidak menghalangnya daripada mencapai kejayaan.
“Versi diri saya yang lebih muda dahulu tidak pernah menyangka bahawa saya akan menerima penghargaan atas segala yang telah saya lalui.
“Oleh itu, saya amat bersyukur,” katanya.
Pesanan Cik Nurhumaira kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran serupa:
“Kita perlu berhati-hati dengan cara kita berbicara kepada diri sendiri.
“Usah sampai suara dalam diri kita membuat kita berasa tidak layak mencapai kejayaan hanya kerana keadaan yang kita hadapi.
“Apabila kita percaya bahawa kita mampu keluar daripada apa jua keadaan, usaha untuk mengubah keadaan itu akan datang dengan sendirinya.”
“
Usah sampai suara dalam diri kita membuat kita berasa tidak layak mencapai kejayaan hanya kerana keadaan yang kita hadapi. Apabila kita percaya bahawa kita mampu keluar daripada apa jua keadaan, usaha untuk mengubah keadaan itu akan datang dengan sendirinya.