Usaha untuk memastikan pengunjung memulangkan dulang dan pinggan mangkuk mereka sesudah makan di pusat penjaja, kedai kopi dan medan selera membuahkan hasil, dengan lebih daripada sembilan dalam 10 didapati membersihkannya, pada April 2024.
Ini meningkat daripada kadar pulangan dulang dan pinggan mangkuk 65 peratus, yang dicatatkan pada Ogos 2021, sebelum amaran dan denda dikeluarkan dari bulan berikutnya.
Laporan terbaru itu diberikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 12 Jun, di samping pelancaran kempen tahunan Go Green SG, sebuah gerakan di seluruh negara yang diketuai oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Dalam edisi kedua, kempen itu bertujuan mendorong rakyat, pertubuhan dan masyarakat supaya melakukan sesuatu bagi mewujudkan kehidupan yang lebih mampan.
Tumpuan tahun ini adalah pada kebersihan awam, selaras dengan Tahun Kebersihan Awam 2024 seperti yang ditetapkan oleh MSE.
Pada Mei 2021, NEA dan SFA secara bersama mengumumkan bahawa mereka akan mengambil langkah lebih ketat untuk mempromosikan kebersihan di pusat penjaja, medan selera dan kedai kopi.
Mereka yang tidak memulangkan dulang dan pinggan mangkuk selepas makan, serta membersihkan meja mereka, boleh didenda sehingga $2,000 bagi kesalahan berulang.
Penguatkuasaan bermula pada September 2021, dengan pelanggan menerima amaran lisan daripada pegawai, jika mereka tidak membersihkan selepas makan.
Ini diikuti dengan amaran bertulis kepada pelanggaran berulang.
Mulai Jun 2023, amaran lisan tidak lagi dikeluarkan, dan pengunjung yang meninggalkan meja kotor dan tidak bersih, menerima amaran bertulis walaupun bagi kesalahan pertama.
Lebih 5,000 amaran bertulis telah dikeluarkan kepada pesalah kali pertama meninggalkan sampah di meja sepanjang tahun lalu.
Hanya sembilan pesalah berulang telah dikenakan denda.
Bercakap pada pelancaran Go Green SG 2024 pada 12 Jun, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkata kejayaan skim memulangkan dulang itu dicapai melalui gabungan penguatkuasaan, infrastruktur yang baik dan pendidikan awam.
“Ini dilakukan melalui penguatkuasaan peraturan membuang sampah di meja, dan juga melalui perkongsian dengan Majlis Perbandaran, pengusaha pusat penjaja, dan kontraktor pembersihan, untuk mengoptimumkan infrastruktur pemulangan dulang, dan untuk memudahkan orang ramai melakukan ini.”
Sebagai contoh, rak boleh dialihkan ke tempat pulang yang lebih popular, dan troli mudah alih juga digunakan jika diperlukan.
Encik Heng berkata, kebersihan awam telah menjadi cabaran yang semakin penting apabila bandar berkembang dan menjadi lebih padat.
Ini termasuk mengekalkan persekitaran yang bersih, udara bersih, air, dan sistem penyediaan makanan yang selamat.
“Jadi, adalah tepat bagi MSE menetapkan 2024 sebagai Tahun Kebersihan Awam, selepas kempen terbaru mengenai tindakan iklim dan sisa sifar.”
MSE menetapkan 2018 sebagai Tahun Tindakan Iklim bagi meningkatkan kesedaran tentang keperluan mengambil tindakan kolektif untuk memerangi perubahan iklim, dan 2019 sebagai Tahun Ke Arah Sisa Sifar untuk membina kesedaran kebangsaan untuk menjaga alam sekitar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg