Dua remaja lelaki berusia 18 tahun yang didakwa menikam seorang pelajar warga Singapura berusia 25 tahun hingga mati di pusat bandar Brussels di Belgium pada 7 November akan terus ditahan pihak berkuasa, menurut media tempatan.
Bagi salah seorang daripada mereka, penahanan sebelum perbicaraannya dilanjutkan selama sebulan pada 29 November.
Bagi seorang lagi, penahanan sebelum perbicaraannya dilanjutkan selama sebulan sejak 13 November.
Kedua-duanya ditangkap polis atas menyebabkan kematian.
Encik B. Aravind Pillay ditikam di bahagian perutnya.
Beliau dibawa ke hospital, namun meninggal dunia di situ, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Brussels.
Polis Brussels menerima panggilan meminta bantuan di Sint-Pietersstraat di Brussels sekitar 2.30 pagi, menurut media tempatan.
Encik Aravind dikatakan bersama dua pelajar wanita dari Brussels ketika itu apabila mereka dihampiri dua remaja itu.
Selepas Encik Aravind ditikam, temannya menghubungi khidmat kecemasan sementara dua remaja itu melarikan diri.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa mangsa dihampiri dua suspek dan mereka bertengkar sebelum kejadian tikam itu berlaku,” kata jurucakap Pejabat Pendakwa Raya Brussels, Cik Yasmina Vanoverschelde, pada 7 November.
Dua suspek itu dikenal pasti dan kemudian ditahan polis Brussels
Encik Aravind meninggalkan Singapura untuk ke Belgium bagi pengajiannya dalam jurusan kejuruteraan komputer pada 7 November 2023, lapor akhbar The Straits Times.
Mayatnya dibawa pulang ke Singapura dan disemadikan di sini.
Bercakap dengan akhbar Tamil Murasu, keluarga mendiang berkata mereka terharu dengan ucapan takziah daripada sahabatnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg