GEORGETOWN (Pulau Pinang): Seorang pekerja pembersihan di sebuah kilang didakwa pada 13 November atas dua tuduhan membunuh seorang wanita dan bapanya di Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam, Pulau Pinang, pada 7 November, dipercayai ekoran ‘cinta ditolak’.
Namun, tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan ke atas Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32 tahun, dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Prosiding kes dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, berikutan tertuduh sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Mengikut tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian ke atas Encik Zulkifli Ibrahim, 62 tahun, lapor Harian Metro.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif, Blok 1 Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam, Pulau Pinang antara 12.54 tengah hari dengan 1.25 tengah hari, pada 7 November.
Manakala tuduhan kedua, Muhammad Farhan didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Siti Zulaila Zulkifli, 30 tahun, di lokasi dan waktu sama.
Kedua-dua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret kemudian menetapkan 15 Januari 2025 bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, Cik Nadratun tiba di pekarangan HPP pada 11.38 pagi dan turut hadir ialah Pegawai Penyiasat Kes, Penolong Superintendan Azrul Azizan Mat Rawi.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kejadian menimpa dua beranak itu yang maut akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat mangsa wanita dikatakan menolak cinta suspek.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan baru pulang dari tempat kerja sebelum didatangi suspek bersenjatakan pisau dan menikam mangsa.
Bapa mangsa yang menyedari kejadian berkenaan cuba meleraikan tindakan suspek terhadap anak perempuannya namun dia juga turut ditikam.
Difahamkan, sekurang-kurangnya enam kesan tikaman dikesan pada mayat kedua-dua mangsa.
Kedua-dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Tanjong Tokong, di sini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg