Encik Wong Choo Kum, 76 tahun, tidak sabar menyambut ketibaan tahun ular dalam beberapa hari lagi, dengan flat satu bilik di Marsiling Lane yang didiaminya bersama anak saudaranya kini baru diubah suai.
Bahkan, rumahnya kini juga lebih selesa, dengan beberapa perabot baru.
Rumah warga emas yang tidak bekerja itu mendapat wajah baru hasil usaha Project Happiness @ Chinese New Year 2025 yang diterajui oleh penghuni dan bekas penghuni Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah).
Ditemui di flatnya pada 25 Januari, Encik Wong berkata:
“Saya sangat gembira kerana rumah saya berselerak sebelum ini, tetapi kini ia lebih cantik dan luas.
“Sekarang saya lebih bersedia untuk menyambut tahun baru, baru ada suasana perayaan.”
Sebagai sebahagian projek ubah suai rumah itu, antara perabot baru yang diterima Encik Wong termasuk meja belajar buat anak saudaranya, Madeline yang berusia 14 tahun, serta meja ruang tamu dan kabinet.
Antara pertubuhan yang turut menyumbang kepada projek ubah suai rumah Encik Wong, yang menelan belanja $4,500, termasuk The Nard Foundation Limited dan Fei Teng Logistics Services Pte Ltd.
Projek itu turut disokong pejabat kawasan undi Marsiling.
Sebagai sebahagian projek yang bertujuan menyebar keceriaan sempena musim perayaan itu, Encik Wong juga menyertai sekumpulan sukarelawan dan Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zaqy Mohamad, untuk mengagihkan habuan makanan kepada 50 isi rumah di kawasan itu.
“Senang melihat penerima bantuan seperti Encik Wong yang bukan sahaja menerima bantuan tetapi juga menyumbang semula kepada masyarakat.
“Ia mencerminkan rasa tanggungjawab yang kuat dan semangat pelbagai budaya yang ingin kami pupuk.
“Yang membantu untuk mengubah suai rumah Encik Wong juga penghuni Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah).
“Ini satu cara untuk menyatukan mereka untuk melakukan sesuatu yang baik,” kata Encik Zaqy.
Naib Presiden III Jamiyah Singapura dan Pengerusi Darul Islah, Encik Siraj Salman, berkata projek ini juga bertujuan menghubungkan pelbagai kumpulan dan memperkasa penerima untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg