Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dialog BH beri ruang belia kupas isu semasa, teroka peluang sumbang bakti

Aug 6, 2024 | 2:45 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman bersama 30 belia daripada institusi berbeza seperti AMP Singapura, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Jamiyah Singapura dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IHL) di Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 31 Julai di bangunan SPH Media di Toa Payoh.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman bersama 30 belia daripada institusi berbeza seperti AMP Singapura, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Jamiyah Singapura dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IHL) di Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 31 Julai di bangunan SPH Media di Toa Payoh. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Watch on YouTube

Golongan belia harus sedia tampil dan menyumbang tenaga selain buah fikiran, dengan semangat untuk berbakti dan membuat perubahan yang bermakna kepada masyarakat dan negara, gesa Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, di Dialog Masyarakat Berita Harian (BH).

Menyatakan demikian di acara yang diadakan pada 31 Julai lalu, Dr Mohamad Maliki turut mentakrifkan aktivisme belia sebagai satu usaha murni melibatkan sumbangan tenaga dan kesediaan berkongsi buah fikiran dalam mencari huraian lebih baik dalam mengatasi sesuatu isu atau permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Sekitar 30 belia mewakili pelbagai institusi seperti AMP Singapura, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Jamiyah Singapura dan beberapa Institut Pengajian Tinggi (IHL) menghadiri acara yang diadakan di bangunan SPH Media di Toa Payoh North itu.

Dialog tersebut turut dibarisi Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan, Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.

Sokongan bagi belia kembang, teroka bakat berbeza

Antara isu yang dibincangkan oleh peserta yang hadir semasa dialog tersebut adalah cara bakat belia dapat disokong dan diperkembangkan agar mereka dapat didedahkan kepada industri dan laluan kerjaya yang berlainan dan tidak terhad kepada apa yang dilihat di media sosial.

Mengupas tentang hal ini, Cik Rahayu akur tentang keprihatinan golongan belia yang mungkin berasa kekurangan dan bimbang apabila mereka tidak dapat melihat diri mereka diwakili dalam bidang-bidang tertentu.

“Apa yang kita ingin wujudkan adalah sokongan yang menyeluruh yang kita sandarkan kepada wadah seperti bimbingan atau ‘mentoring’.

“Ramai antara kita yang beruntung dapat peluang untuk ada pembimbing atau mentor yang baik tetapi tidak semua yang mungkin ada peluang tersebut.

“Jadi apa yang kita ingin kita pastikan adalah satu struktur yang mana adanya peluang untuk anak-anak muda kita bertanya dan mendapatkan sumber pengetahuan itu.

“Sebagai contoh, sebuah Pejabat Mentoring Belia oleh Mendaki yang disokong agensi-agensi M3 telah ditubuhkan pada 2019, berusaha memastikan adanya program-program yang tertentu untuk anak-anak muda.

“Terdapat juga program pementoran untuk pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang boleh membantu belia,” kata Cik Rahayu yang turut menekankan kepentingan saluran untuk belia menyumbang semula sebagai mentor dan juga mendapatkan ilmu dan pemahaman di peringkat nasional.

Pupuk budaya aktivisme dan kesedaran sivik

Dr Maliki menambah, terdapat banyak ruang untuk menggalakkan penduduk dan penuntut Singapura untuk berkecimpung dalam bidang aktivisme dan memupuk semangat kepimpinan di sekolah.

“Aktivisme berkaitan langsung dengan kepimpinan, sama ada kita boleh membawa ke depan apa yang kita ingin lakukan.

“Di sekolah, kita memberi pelajar peluang menerusi kegiatan kokurikulum (CCA), melalui ruang yang mana setiap sekolah mempunyai jawatankuasa pelajar sedarjah misalnya, dan mereka digalakkan untuk membuat perubahan yang diperlukan menerusi kurikulum kecekapan teras,” kata Dr Maliki.

Beliau berkongsi, terdapat dua cabaran iaitu sama ada pelajar bersedia untuk mengambil peluang yang disediakan dan juga semangat untuk mengambil bahagian ataupun menghadapi risiko.

“Amanah kementerian pendidikan dan sekolah-sekolah adalah untuk memastikan keselamatan para penuntut kita.

“Apa yang kita harus lakukan adalah berbincang dengan setiap guru dan ibu bapa jika kita bersedia untuk membuka ruang tersebut, dan apabila ruang itu dibuka dan sesuatu perkara berlaku, janganlah kita menuding jari,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Cik Rahayu juga bersetuju pengambilan risiko perlu digalakkan.

Tegasnya, masyarakat perlu dididik untuk memahami bagaimana caranya untuk melakukan kegiatan aktivisme di Singapura.

“Kita lakukan dengan budaya dan cara Singapura. Ada ruangnya, tapi ada tata tertibnya. Kita mengutamakan keselamatan, untuk memastikan tidak ada ketegangan antara kaum dan sebagainya.

“Jadi kalau kita mahu melakukan kegiatan aktivisme, saya rasa kita perlu ciptakan satu cara untuk masyarakat Singapura lakukan sedemikian,” kata Cik Rahayu.

Aktivisme bukan sahaja di peringkat masyarakat, belia perlu perjuangkan diri sendiri

Dr Maliki mengalu-alukan para belia untuk menjadi proaktif bagi diri mereka sendiri dan mengambil peluang yang sedia ada.

Beliau merujuk kepada landskap ekonomi yang sedang dilakarkan oleh pemerintah demi memastikan kemajuan ekonomi negara terus berkembang dengan pesat agar setiap individu mempunyai pekerjaan dan masa hadapan yang cerah.

Dengan memahami landskap tersebut, beliau berkata bahawa belia dapat ketahui sektor-sektor yang berkembang dan membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menceburi bidang tersebut.

Dalam mengejar impian dan mengambil peluang, menurut Cik Nadia pula, penting bagi belia untuk memupuk daya tahan dan keyakinan diri.

“Apabila kita berfikir tentang cari makan, dan cari duit, saya rasa ramai belia yang mungkin kesulitan kewangan.

“Mereka harus mencapai peluang yang segera, yang berada di depan mereka, berbanding dengan apa yang mereka minat dan inginkan.

“Kadangkala saya boleh faham jika mereka bergerak ke arah yang selesa dan mengikuti teman-teman mereka.

“Oleh itu, ia penting untuk membina keyakinan diri dan menjadi proaktif,” kongsi Cik Nadia yang berharap agar dialog masyarakat BH ini dapat digunakan sebagai wadah untuk para belia bertukar pandangan antara satu sama lain.

Tonton video Dialog Masyarakat Berita Harian di saluran YouTube Berita Harian Singapura.
Tonton video Dialog Masyarakat Berita Harian di saluran YouTube Berita Harian Singapura. - Foto BH
Imbas Kod QR untuk ke saluran YouTube Berita Harian Singapura.
Imbas Kod QR untuk ke saluran YouTube Berita Harian Singapura. - Foto BH

“Di sekolah, kita memberi pelajar peluang yang sedia ada menerusi kegiatan kokurikulum (CCA) mereka, melalui ruang yang mana setiap sekolah mempunyai jawatankuasa pelajar sedarjah misalnya, dan mereka digalakkan untuk membuat perubahan yang diperlukan menerusi kurikulum kecekapan teras.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

“Ramai antara kita yang beruntung dapat peluang untuk ada pembimbing atau ‘mentor’ yang baik tetapi tidak semua yang mungkin ada peluang tersebut. Jadi apa yang kita ingin kita pastikan adalah satu struktur yang mana adanya peluang untuk anak-anak muda kita bertanya dan mendapatkan sumber pengetahuan itu.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

“Apabila kita berfikir tentang cari makan, dan cari duit, saya rasa ramai belia yang mungkin kesulitan kewangan. Mereka harus mencapai peluang yang segera, yang berada di depan mereka, berbanding dengan apa yang minat dan inginkan.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg