Semasa Ayra Sofiya Othman dilahirkan pada 2020, dunia di sekelilingnya sedang berubah akibat pandemik Covid-19.

Ibunya, Cik A’bidah Yahya, 41 tahun, melahirkannya hanya sekitar satu hingga dua minggu sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan atau circuit breaker dilaksanakan di Singapura.

Ketika itu, sekatan sudah mula diperketatkan di hospital sehingga suaminya tidak dibenarkan bermalam bersamanya. Namun, kesannya lebih dirasakan apabila mereka membawa Ayra pulang.

“Selepas itu, kehidupan kami memang banyak di rumah. Kami tak boleh bawa dia keluar berjalan-jalan seperti kakak dan abangnya.

“Dalam satu hingga dua tahun pertama, dia takut berjumpa orang sebab waktu circuit breaker, memang tak ada tetamu datang ke rumah dan dia pun jarang berjumpa keluarga saya,” jelas Cik A’bidah.

Beliau merupakan pekerja sosial yang kini berehat sementara daripada kerjayanya hingga anaknya memulakan persekolahan pada Januari.

Suaminya pula bekerja sebagai jurutera operasi.

Apabila keluarga akhirnya dapat berkumpul semula, Ayra sering menangis apabila berhadapan dengan orang yang kurang dikenalinya.

Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, Ayra banyak menghabiskan masa bersama kakak dan abangnya di rumah.

‘Bayi Covid’, Ayra Sofiya Othman, dibimbing di rumah oleh ibunya, Cik A’bidah Yahya, yang memberi tumpuan kepada Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik sebagai persediaan melangkah ke sekolah rendah pada 2027. Selain itu, Ayra juga gemar melukis dan mengekspresikan diri, selain menunjukkan sikap berdikari.
‘Bayi Covid’, Ayra Sofiya Othman, dibimbing di rumah oleh ibunya, Cik A’bidah Yahya, yang memberi tumpuan kepada Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik sebagai persediaan melangkah ke sekolah rendah pada 2027. Selain itu, Ayra juga gemar melukis dan mengekspresikan diri, selain menunjukkan sikap berdikari. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Menurut Cik A’bidah, kedua-duanya sering membaca buku dan bermain bersama Ayra, khususnya abangnya yang mempunyai jurang usia lebih dekat dengannya.

Cabaran menyesuaikan diri dengan orang lain kembali dirasakan apabila Ayra mula dihantar ke prasekolah dengan memakai pelitup muka.

“Ayra mengambil masa sekitar sebulan untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru itu,” katanya.

Namun, perubahan mula kelihatan selepas beberapa bulan.

“Perlahan-lahan dia kumpulkan keberanian dan keyakinan. Selepas dua atau tiga bulan, dia mula seronok pergi sekolah.

“Sekarang dia sangat ekspresif. Dia suka berkongsi apa yang dia fikirkan. Ada hikmah juga sebab sekarang dia lebih ekstrovert (mudah bergaul dengan orang ramai),” kata Cik A’bidah semasa ditemui Berita Minggu (BM).

Malah, Ayra kini disifatkan ibunya sebagai seorang yang sangat peramah dan sentiasa menantikan peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Cik A’bidah turut mendapati perkembangan pertuturan dan pembelajaran Ayra pada awalnya agak perlahan berbanding dua anaknya yang lebih tua.

Ayra, katanya, memerlukan lebih banyak masa untuk memahami sesetengah konsep pembelajaran, meskipun mempunyai kekuatan tersendiri dalam pemikiran logik.

Kini, menjelang kemasukannya ke Darjah Satu di Sekolah Rendah Tampines pada 2027, Ayra semakin menunjukkan minat terhadap pembelajaran.

Dia mengikuti program Ready Set Learn Math Explorer kendalian Yayasan Mendaki selama empat minggu secara dalam talian menerusi Zoom.

Menurut Cik A’bidah, Ayra suka sesi tersebut, khususnya apabila diperkenalkan kepada konsep Matematik.

Beliau turut menghantar anaknya ke kelas P1 Readiness di Future Khulafa, yang memberi tumpuan kepada Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik sebagai persediaan menghadapi peralihan ke sekolah rendah.

“Dia memang seronok dan sudah mula belajar perkara yang akan dipelajari di Darjah Satu. Secara umumnya, dia memang sangat bersemangat dan teruja,” katanya.

Keghairahan Ayra untuk belajar turut terserlah di rumah.

Apabila melihat Cik A’bidah mengulang kaji pelajaran bersama dua kakak dan abangnya, Ayra akan mengambil meja lipatnya sendiri lalu mula membuat latihan tanpa perlu disuruh.

Dalam masa yang sama, Cik A’bidah turut memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal seperti mengira duit syiling serta mengenal pasti dan mengemas sendiri barang yang perlu dimasukkan ke dalam beg sekolah.

“Saya cuba persiapkan dia perlahan-lahan supaya apabila masuk sekolah rendah nanti, dia tidak terlalu terkejut dengan perubahan persekitaran,” katanya.

Peralihan itu juga merupakan pengalaman baru bagi keluarga tersebut.

Berbeza daripada kakak dan abangnya yang mengikuti pendidikan madrasah, Ayra bakal menjadi anak pertama Cik A’bidah yang memasuki sekolah rendah arus perdana.

Ayra kini mengikuti pendidikan prasekolah dalam persekitaran madrasah, dengan kebanyakan rakan sekelilingnya beragama Islam.

“Saya sendiri tak tahu sangat bagaimana sistem sekolah itu dan bagaimana dia akan menyesuaikan diri,” kata Cik A’bidah.

Namun, kebimbangannya sedikit terubat apabila melihat sifat Ayra yang kini mudah bergaul.

Ketika berada di taman permainan, misalnya, beliau melihat anaknya tidak keberatan mendekati dan bermain bersama kanak-kanak daripada kaum lain.

“Ayra sendiri sudah tidak sabar menantikan Darjah Satu, lebih-lebih lagi apabila beberapa rakannya bakal memasuki sekolah yang sama.”