Ibu bapa, pendidik, guru agama dan organisasi masyarakat mesti mewujudkan persekitaran di mana golongan muda rasa selamat untuk membincangkan soalan sukar.

Ini termasuk topik berkenaan agama, identiti, rasa memiliki dan perkembangan dunia, kata Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader.

Beliau menambah, apabila belia mempunyai orang yang dipercayai untuk didekati, mereka kurang berkemungkinan untuk menavigasi pemikiran yang membimbangkan secara bersendirian.

“Golongan muda kita adalah tanggungjawab bersama kita. Kita mesti mendidik mereka, mendengar luahan mereka dan memberi mereka saluran yang selamat untuk bersuara.

“Yang paling penting, kita mesti mengajar mereka untuk saling mengawasi antara satu sama lain.

“Apabila seorang anak muda bersuara atas rasa keprihatinan yang ikhlas terhadap seorang rakan, kita harus memastikan terdapat cara yang selamat dan dipercayai untuk keprihatinan itu didengari,” kata Encik Abdul Halim.

Taman Bacaan percaya bahawa perlindungan terhadap belia memerlukan usaha seluruh masyarakat agar laporan dan campur tangan awal dapat dilakukan untuk mencegah kemudaratan, tambahnya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Taman Bacaan pada 28 Julai.

Pada 27 Julai, tiga belia lelaki Singapura berusia antara 14 hingga 19 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 27 Julai.

Pelajar menengah dua yang berusia 14 tahun itu merupakan yang paling muda pernah ditahan di bawah ISA disebabkan menjadi radikal sendiri.

Dua belia yang lain merupakan seorang pelajar menengah empat berusia 15 tahun, dan seorang penuntut institut pengajian tinggi berusia 19 tahun.

Ketiga-tiganya, secara berasingan, telah membuat persiapan untuk melibatkan diri dalam serangan di dalam negara.

Berkongsi lanjut, Encik Abdul Halim berkata, Taman Bacaan amat prihatin dengan kes terbaru yang menunjukkan pendedahan berterusan golongan muda terhadap radikalisasi dalam talian.

Beliau berkongsi bahawa radikalisasi kini tidak lagi mengikut satu ideologi, malah, mampu dibentuk menerusi Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).

“Ini menjadikan usaha pengesanan dan pemulihan lebih mencabar, memandangkan kepercayaan sedemikian boleh jadi tidak konsisten, tidak tetap dan berkembang dengan pantas.

“Perkembangan ini mengukuhkan lagi keperluan untuk bimbingan awal, kewaspadaan keluarga, celik digital dan sokongan masyarakat yang kukuh bagi membantu golongan muda memahami isu-isu kompleks tanpa terpengaruh ke arah pemikiran ekstremis atau keganasan.

“Ini juga menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan yang lebih aktif,” katanya.

Encik Abdul Halim mendapati bahawa kes penahanan terbaru itu menunjukkan bahawa murid-murid sendiri boleh memainkan peranan penting dalam saling mengawasi antara satu sama lain kerana mereka menghabiskan masa yang panjang bersama di sekolah dan dalam talian.

Lantas, mereka mampu mengesan perubahan pada rakan mereka sebelum orang dewasa.

“Kita perlu menggalakkan murid-murid kita untuk tampil dan memaklumkan kepada guru, kaunselor sekolah atau pemimpin sekolah yang dipercayai sekiranya mereka benar-benar bimbang tentang rakan sekolah mereka,” kongsinya.

Encik Abdul Halim akur bahawa para belia sering takut untuk menyuarakan kebimbangan kerana bimbang dipersalahkan, disalah faham, atau kehilangan rakan.

Oleh itu, ruang yang selamat perlu disediakan supaya mereka dapat melaporkan keadaan rakan yang memerlukan bantuan tanpa rasa takut.

Salah satu cadangan yang diketengahkan Taman Bacaan ialah menyediakan kotak laporan atau maklum balas yang selamat di lokasi yang sesuai di dalam sekolah, di mana murid-murid boleh menyerahkan nota bertulis tanpa perlu mendedahkan identiti mereka.

“Bagi golongan muda yang telah terpengaruh dengan ideologi ekstremis, pemulihan dan pendidikan kekal penting.

“Mereka harus diberikan bimbingan serta sokongan yang sewajarnya untuk menolak kepercayaan yang memudaratkan, meneruskan pendidikan mereka, dan akhirnya melangkah ke hadapan dengan tujuan hidup yang positif,” katanya.