Penang Road Open Space sedia ada yang terletak di persimpangan Orchard Road dan Oxley Road bakal dibangunkan menjadi Taman Orkid sebagai sebahagian daripada pelan pembaharuan bagi kawasan Dhoby Ghaut.

Taman Orkid berkenaan bakal menjadi sebahagian daripada sebuah taman baharu yang menggabungkan Open Space sedia ada, Taman Istana, Dhoby Ghaut Green, serta satu bahagian sepanjang 500 meter di Orchard Road yang akan dijadikan kawasan pejalan kaki.

Taman gabungan tersebut, yang mula diumumkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada Pelan Pembaharuan Orchard Road, mempunyai keluasan melebihi tiga kali ganda berbanding Taman Istana sedia ada seluas 1.3 hektar.

Maklumat lanjut mengenai taman gabungan itu diumumkan oleh Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, dalam satu acara di Temasek Shophouse pada 12 Ogos.

Acara itu diadakan bagi memberi kemas kini pelan kawasan tersebut kepada para pemilik bangunan dan penyewa di kawasan berkenaan.

Encik Tan berkata Taman Orkid itu akan menampilkan “pelbagai jenis orkid yang ditanam di pelbagai habitat, laluan pejalan kaki serta persekitaran rimbun”.

Dalam satu kenyataan media, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata kepelbagaian orkid itu akan “memperlihatkan keupayaan luar biasa orkid untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran pertumbuhan”.

Kawasan yang diperbaharui itu akan mempunyai tiga bahagian, iaitu Taman Orkid dan Plaza Orkid, Taman Istana serta Dhoby Ghaut Green, kata Encik Tan.

Bagi Taman Istana yang dibangunkan semula, perancangannya merangkumi pembinaan laluan masuk istiadat baharu, dengan tiang bendera dan pokok matang di kedua-dua sisi laluan yang menuju terus ke pintu utama Istana.

NParks turut menyatakan bahawa taman berkenaan mungkin dilengkapi tarikan dalam bangunan baharu, seperti galeri bagi mempamerkan warisan pelbagai budaya Singapura di samping “meningkatkan pengalaman hortikultur buat para pengunjung”.

Dhoby Ghaut Green pula akan menempatkan sebuah taman bagi memberi penghormatan kepada “semangat perintis serta sumbangan wanita Singapura”, kata NParks, sambil menambah bahawa taman tersebut pertama kali diusulkan dalam Kertas Putih bagi Pembangunan Wanita Singapura pada 2022.

“Kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada wanita daripada pelbagai latar belakang untuk terlibat secara aktif dalam masyarakat,” kata Encik Tan mengenai taman berkenaan dalam ucapannya di acara penglibatan tersebut.

Menurut NParks, taman tersebut bertujuan menyediakan ruang awam lebih fleksibel bagi menyokong acara serta aktiviti peringatan untuk kumpulan wanita, di samping menawarkan kandungan pendidikan buat para pengunjung.

Pelan Pembaharuan Semula Orchard Road pertama kali diumumkan pada 2019 oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan NParks.

Antara matlamat projek berkenaan adalah untuk mengubah Orchard Road menjadi sebuah oasis hijau di tengah-tengah kota, sekali gus “mewujudkan semula suasana kebun” di kawasan yang dahulunya pernah menjadi ladang tanaman ketika era penjajahan.

Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pelan pembaharuan taman berkenaan melalui pameran di Temasek Shophouse yang berlangsung sehingga 26 Ogos.