Antara April dengan Jun 2025, Taman Haiwan Singapura telah menyambut kelahiran hampir 20 reptilia termasuk anak buaya Filipina dan dua tuntung laut atau kura-kura tuntung, yang lebih dikenali sebagai painted terrapin.
Kedua-dua spesies tersebut digolongkan Kerjasama Tindakan Spesies Asia (ASAP), Suruhanjaya Penakatan Spesies Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), sebagai antara haiwan terancam, yang dikhuatiri pupus.
Tambahan reptilia di Taman Haiwan Singapura termasuk tiga tokek harimau bintang China dan 13 ular kapak gabon.
Dalam satu kenyataan media pada 17 Julai, Mandai Wildlife Group berkata kejayaan pembiakan reptilia ini menyumbang kepada usaha berterusan menyokong masyarakat taman haiwan antarabangsa mengekalkan sejumlah haiwan sihat dan rencam di bawah jagaan manusia, lantas menyumbang pada penakatan jangka panjang spesies ini.
Kurator operasi penjagaan haiwan, Encik Luke Harding, berkata:
“Di sebalik setiap kejayaan penetasan reptilia ini menggambarkan satu perjalanan penuh ketekunan, percubaan dan perancangan rapi.
“Banyak spesies ini dikenali sebagai yang sukar dibiakkan di bawah jagaan manusia. Kerana itu, melihat mereka berkembang sihat adalah sesuatu yang berbaloi dan bermakna buat kami.
“Mereka menggambarkan dedikasi, kemahiran dan kesungguhan pasukan jagaan haiwan dan veterinar kami.
“Membiakkan buaya Filipina di luar jajaran aslinya dan menjadi salah satu daripada segelintir taman haiwan sejagat yang menetaskan tuntung laut merupakan peristiwa penting yang kami tidak ambil mudah.
“Kesemua penetasan menyediakan peluang berharga bagi penyelidikan dan perkongsian ilmu, mendalami pemahaman kita tentang jagaan spesies dan menyokong usaha kerjasama pembiakan dalam kalangan zoo sejagat.”
Sehingga Jun 2025, Taman Haiwan Singapura telah menempatkan sekitar 80 jenis reptilia, dengan lebih separuh daripadanya disifatkan sebagai spesies terancam.
Terdapat lebih 100 jenis reptilia di seluruh Hutan Simpanan Hidupan Liar Mandai, yang merangkumi lima taman hidupan luar.
Reptopia, yang dibuka pada 2017, menempatkan reptilia dan amfibia dari empat zon geografi, dan mempunyai galeri tontonan yang membolehkan pengunjung melihat proses kelahiran haiwan-haiwan tersebut secara langsung.
Penetasan anak buaya Filipina merupakan hasil program pembiakan teliti melibatkan pasangan bernama Reginald dan Delilah, yang tiba dari Akuarium Nasional Denmark pada 2022.
Spesies ini terkenal sukar dibiakkan kerana sifatnya yang agresif, khususnya semasa musim mengawan.
Pihak taman haiwan telah memindahkan kedua-dua buaya berusia 11 tahun itu ke habitat baru untuk menyatukan mereka, dengan kejayaan dicapai dengan menetasnya seekor anak buaya betina, selepas berminggu lamanya pada 10 Jun.
Kini, ia sudah mula makan ikan kecil dan cengkerik serta membesar di kawasan khas yang tidak dibuka kepada umum.
Reptopia turut mencatat kejayaan pertama bagi penetasan tokek harimau bintang China, dengan tiga telur menetas pada 27 Mei, 24 Jun dan 25 Jun.
Anak tokek kini aktif dan sudah mampu makan, dengan badannya berwarna gelap diiringi jalur putih dan mata jingga terang.
Dalam pada itu, beberapa penetasan dijangka tidak lama lagi, melibatkan tokek New Caledonia serta kura-kura daun Annam yang kini pada tahap terancam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg