Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zoo Johor bakal perkenal konsep Zoo Malam; kerja naik taraf selesai Dis

Jun 10, 2025 | 4:04 PM
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Kerja-kerja naik taraf Fasa 2 pembangunan semula Zoo Johor telah bermula sejak awal Mei 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Disember 2025, sekali gus menampilkan konsep Zoo Waktu Malam (Zoo Malam) buat julung kalinya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha menjenamakan semula Zoo Johor sebagai zoo bandar moden, mesra keluarga dan destinasi pelancongan ikonik menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Fasa kedua pembangunan ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan kandang haiwan, pembinaan laluan mesra orang kurang upaya (OKU) dan stroller (kereta sorong bayi), selain memperkenalkan pengalaman baru menerusi konsep Zoo Malam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Projek yang menelan kos keseluruhan RM7 juta ($2.12 juta) itu bakal meningkatkan taraf kemudahan serta pengalaman pengunjung secara keseluruhan.

Zoo Johor yang merupakan zoo tertua di Malaysia dan terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru telah dibuka semula kepada orang ramai pada 31 Ogos 2024.

Sejak pembukaan semula itu, purata jumlah pengunjung melonjak daripada 400,000 kepada anggaran satu juta orang setahun.

“Lonjakan jumlah pengunjung ini juga memberi impak positif kepada hasil pendapatan Zoo Johor yang kini dijangka meningkat daripada RM1.5 juta kepada RM7 juta setahun,” kata Datuk Mohd Jafni.

Beliau berkata peningkatan tersebut hasil daripada pendekatan mesra pengunjung, penggunaan sistem tiket elektronik, penyediaan perkhidmatan bas ulang-alik, serta reka bentuk zon pameran haiwan yang lebih menarik dan interaktif.

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan dari segi jumlah kehadiran pelawat, tetapi juga menzahirkan usaha kita dalam memartabatkan semula nilai sejarah dan warisan Zoo Johor yang telah sekian lama menjadi kebanggaan rakyat negeri ini,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri menjadikan Zoo Johor sebagai antara destinasi ‘wajib lawat’ sempena Tahun Melawat Johor 2026, selaras dengan misi menjadikan Johor sebagai pusat pelancongan utama.

“Fokus kita jelas, mengangkat Zoo Johor menjadi ikon pelancongan keluarga, pusat pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan haiwan, yang memenuhi piawaian antarabangsa dari aspek keselamatan, pendidikan dan pengalaman,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg