Pengunjung ke East Coast Park kini boleh menikmati satu ruang kesejahteraan baru yang dilengkapi kemudahan bersenam dan permainan serta taman terapeutik pertama di situ.
Lembaga Taman Negara (NParks) dan firma perkhidmatan profesional KPMG pada Jumaat melancarkan Taman Kesejahteraan KPMG seluas 1.1 hektar, merangkumi sebuah taman terapeutik, taman permainan, kawasan bersenam semula jadi dan kolam berdenai, lapor The Straits Times.
Taman terapeutik itu menawarkan kepada pengunjung persekitaran aman dan tenteram untuk memudahkan interaksi bersama alam semula jadi, kata NParks, sambil menambah ia menyasarkan untuk mempunyai 30 taman terapeutik di kawasan riadah di seluruh Singapura menjelang 2030.
Taman Kesejahteraan KPMG di Kawasan D East Coast Park itu seluas sekitar satu setengah padang bola sepak dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dibina.
Ia salah satu daripada 10 taman terapeutik di Singapura, termasuk di Taman Jurong Lake, HortPark dan Taman Pasir Ris.
Tetamu terhormat di majlis pelancaran itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata taman tersebut direka bentuk sebagai ruang bagi semua generasi yang boleh dinikmati oleh pengunjung dari pelbagai peringkat usia dan keupayaan fizikal, dengan laluan bebas adangan, kawasan berehat dan tempat duduk.
“Taman Kesejahteraan KPMG adalah contoh baik bagaimana pemerintah dan korporat boleh bekerjasama demi kesejahteraan awam. Taman ini akan membantu mendekatkan orang ramai kepada alam semula jadi sedang kita mengubah Singapura menjadi sebuah bandar dalam alam semula jadi,” ujar beliau.
Taman terapeutik KPMG dilengkapi dek tinggi bagi pengunjung menikmati pemandangan panoramik kolam, laut dan taman serta jerjak dan laluan refleksologi.
Ruang taman yang ditinggikan juga membolehkan pengguna kerusi roda melihat dari dekat herba dan tanaman boleh dimakan, seperti daun pudina dan pokok stevia.
Di taman permainan, kanak-kanak boleh memanjat bongkah kayu, bermain di lubang pasir dan alat muzik seperti paip dan dram.
Sementara itu, satu barisan tangga yang diperbuat daripada kayu balak digunakan sebagai batang titian terdapat di kawasan bersenam semula jadi yang sesuai untuk orang dewasa dan warga emas.
Sebatang denai turut dibina mengeliling kolam di situ.
Dalam satu kenyataan, NParks dan KPMG berkata kawasan berbeza di taman itu menyediakan ruang inklusif untuk pengunjung berbilang generasi menikmati persekitaran pantai sambil meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Memandangkan kemampanan persekitaran merupakan teras reka bentuk taman itu, bahan seperti batu-bata dan kayu balak yang diperolehi dari taman tersebut digunakan semula dan dikitar semula. Contohnya kayu balak di kawasan bersenam,” kata NParks dan KPMG.
“Pembangunan taman sesejahteraan ini disokong sumbangan daripada KPMG menerusi Garden City Fund, iaitu badan amal NParks yang berdaftar dan berstatus IPC (Institusi Bertaraf Awam),” kata mereka.
NParks dan KPMG tidak menyatakan kos membina taman itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg