Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Laut Sisters’ Islands dibuka semula

Oct 28, 2024 | 2:14 PM
Pulau Subar Laut, sebahagian daripada Taman Laut Sister’s Islands, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari Singapura, mempunyai ciri-ciri yang membolehkan pengunjung melihat lebih dekat keajaiban dalam air laut.
Pulau Subar Laut, sebahagian daripada Taman Laut Sister’s Islands, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari Singapura, mempunyai ciri-ciri yang membolehkan pengunjung melihat lebih dekat keajaiban dalam air laut. - Foto NPARKS

Selepas tiga tahun usaha penyegaran semula, Taman Laut Sisters’ Islands yang kaya dengan biodiversiti, dibuka semula kepada orang ramai pada 28 Oktober, menarik pengunjung dengan lagun untuk berenang, batu karang untuk dilihat dari dekat, dan denai hutan pantai yang menawarkan pemandangan panoramik kepulauan selatan Singapura.

Tarikan utama Taman Laut Sisters’ Islands seluas 40 hektar, Big Sister’s Island (Pulau Subar Laut), adalah satu-satunya tempat di taman laut itu yang dibuka kepada pelawat.

Little Sister’s Island (Pulau Subar Darat) dizonkan untuk penyelidikan dan pemuliharaan, manakala terumbu barat Pulau St John’s (Pulau Sekijang Bendera) dan Pulau Tekukor ditenggelami air.

Pada 2021, Pulau Subar Laut menjalani kerja-kerja menaik taraf untuk menjadikannya lebih mesra pelawat dan berfungsi sebagai tempat untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang hidupan laut Singapura, lapor The Straits Times.

Kini, pulau yang telah dirapikan semula itu, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari tanah besar, mempunyai ciri-ciri yang bolehkan pengunjung mendekati keajaiban dalam air laut.

Di sebelah kanan jeti terdapat laluan terapung baru yang naik dan turun mengikut pasang surut. Pelawat tidak perlu basah kuyup untuk melihat batu karang.

Mereka hanya perlu melihat ke kedua-dua belah laluan itu untuk melihat gugusan karang yang tumbuh di panel-panel yang tenggelam.

Di tengah-tengah Pulau Subar Laut adalah hutan pantai. Terdapat sebatang denai sepanjang 230 meter yang membolehkan pengunjung mendaki sambil mencari cecadu pisang (sejenis kelawar) dan ular petola yang tinggal dalam hutan.

Di hujung denai itu terdapat geladak tontonan setinggi dua tingkat di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan taman laut, serta pulau-pulau lain, seperti Pulau Semakau dan Pulau Jong.

Pembukaan semula Pulau Subar Laut pada 28 Oktober dihadiri Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Tahun 2024 menandakan satu dekad sejak Taman Laut Sisters’ Islands, taman marin pertama Singapura, mula dibuka.

Pulau-pulau dan terumbunya telah diwartakan untuk perlindungan kerana kepelbagaian habitat termasuk terumbu karang yang utuh, pantai berpasir dan padang rumput laut.

Pada Mei 2024, Encik Lee mengumumkan rancangan menetapkan bahagian selatan Pulau Lazarus dan terumbu di luar Pulau Kusu sebagai taman laut kedua republik ini.

Pada 2017, beliau memberitahu Parlimen bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) akan membuat peraturan baru khusus untuk taman laut dalam masa terdekat, seperti mengenakan sekatan ke atas kegiatan menyelam, pergerakan kapal, dan menjatuhkan sauh.

Memberi maklumat terkini, Encik Lee berkata Peraturan Taman dan Pokok Singapura akan diperkukuh untuk mengawal selia kegiatan di perairan dengan lebih baik, dan melindungi terumbu dan biodiversiti taman laut itu.

Pengunjung perlu membawa bekal air dan makanan untuk lawatan sehari di Pulau Subar Laut, kerana tiada kedai makanan di sana.

Dibuka kepada orang ramai dari 7 pagi hingga 7 malam setiap hari, pengunjung boleh menaiki feri ke pulau itu dari Pulau St John’s mulai 29 Oktober.

Taman Laut Sisters’ Islands dilindungi di bawah undang-undang sebagai taman awam, yang bermaksud adalah satu kesalahan untuk menangkap ikan, mengumpul batu karang, atau melabuhkan bot dalam zon 40 hektar tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg