Sebuah taman permainan terangkum baharu yang menampilkan gelongsor pertama di Singapura dengan akses kerusi roda telah dibuka secara rasmi pada 17 Jun di Taman Sun Plaza, di Tampines Ave 7.

Terletak kira-kira tempoh 10 minit berjalan kaki dari stesen MRT Tampines, taman permainan ini direka dengan laluan tanpa halangan serta peralatan seperti gelongsor dan buaian yang boleh diakses oleh semua pengguna, termasuk mereka yang berkerusi roda.

Warna terang digunakan pada peralatan dan permukaan bagi membantu mereka yang terhad daya penglihatan.

Taman permainan ini juga mempunyai empat zon, dengan setiap satunya bertemakan cara penyebaran biji benih yang berbeza.

Tumbuhan yang berkaitan dengan pelbagai kaedah penyebaran tersebut boleh ditemui di sekitar setiap zon.

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan kanak-kanak berinteraksi dengan alam semula jadi sambil mempelajari persekitaran mereka.

Taman permainan ini merupakan hasil kerjasama antara Lembaga Taman Negara (NParks) dan Magical Bridge Foundation, sebuah badan tidak mengaut untung, yang berpangkalan di California dan terkenal dengan reka bentuk taman permainan terangkum.

Pertubuhan seperti SPD Singapore @ Tampines dan M.Y. World @ Tampines North turut dirujuk sepanjang proses pembangunan.

Dengan keluasan sebesar 3,800 meter persegi, iaitu sedikit melebihi separuh saiz padang bola sepak, taman permainan ini dilengkapi pagar, sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada penjaga anak-anak yang bermain.

Pembinaan taman permainan ini dibiayai sebahagiannya menerusi sumbangan sebanyak $3.9 juta kepada Garden City Fund daripada ahli lembaga Magical Bridge Foundation, Cik Amanda dan Encik Vince Steckler.

Ditubuhkan pada 2002, Dana Bandar Raya Taman merupakan badan amal berdaftar dan Institusi Bertaraf Awam (IPC).

Badan tersebut menyokong pelbagai projek yang melengkapi usaha NParks dalam merealisasikan visi ‘Bandar dalam Alam Semula Jadi’.

Taman permainan di Taman Sun Plaza merupakan projek kedua Magical Bridge Foundation di Singapura.

Projek pertamanya, yang dikenali sebagai ‘A Whale of A Tale’, terletak di luar Muzium Negara Singapura dan telah dibuka secara rasmi pada Oktober 2025.

Ketika berucap pada majlis perasmian pada 17 Jun, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata:

“Saya amat gembira kerana kita kini mempunyai salah satu ruang permainan yang paling menyeluruh, terangkum dan mudah diakses di Singapura, di sini, di Taman Sun Plaza.”

Beliau berkata selain akses fizikal, taman permainan itu turut memenuhi pelbagai keperluan deria dan perkembangan kanak-kanak.

Menurutnya, sudut yang tenang serta taman deria yang dilengkapi dengan batas tanaman bertingkat dan tumbuhan yang selamat disentuh serta kaya dengan aroma menawarkan manfaat terapeutik kepada pengunjung.