Sebuah taman terapeutik baru dengan gelanggang terbuka (outdoor) permainan boccia pertama di Singapura dibuka di Taman Punggol pada 12 Disember.
Direka bagi memenuhi keperluan pelbagai pengguna, termasuk warga emas dan pengguna kerusi roda, taman seluas 2,000 meter persegi itu menampilkan laluan berhalangan (obstacle course) terbuka bagi mereka yang berkerusi roda – yang pertama seumpamanya dalam taman di bawah Lembaga Taman Negara (NParks).
Satu kenyataan NParks pada 12 Disember menyatakan taman itu turut menempatkan laluan pergerakan fizikal inklusif pertama di sini yang boleh digunakan untuk tujuan fisioterapi dan riadah.
Pembukaan rasmi taman terapeutik itu dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, pada 12 Disember.
Beliau berkata taman terapeutik dapat memupuk interaksi bermakna dengan alam semula jadi kerana ia menggabungkan ciri-ciri yang boleh meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental.
“Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada alam semula jadi dan berkebun boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan mental.
“Kami akan terus meningkatkan taman untuk menyediakan pengalaman berasaskan alam semula jadi yang lebih mudah diakses dan terangkum bagi rakyat Singapura daripada semua peringkat usia dan kebolehan untuk dinikmati,” ujarnya melalui satu kenyataan.
Dengan perasmian taman baru itu, bilangan taman terapeutik di Singapura meningkat kepada 16 – yang pertama dibangunkan di HortPark pada 2016.
Menjelang 2030, sebanyak 30 taman terapeutik boleh didapati di serata pulau di sini.
Taman itu dibahagikan kepada dua zon – zon aktif bagi pengunjung bersenam; dan zon pasif iaitu ruang orang ramai boleh beristirahat.
Di antara kedua-dua zon itu terletak pokok setinggi 12 meter yang ditanam lebih 30 tahun lalu yang menjadi titik tumpuan semasa rekaan taman tersebut.
Tumpuan bagi zon aktif ialah gelanggang terbuka sukan boccia yang pertama di Singapura.
Gelanggang tidak berbumbung itu membolehkan pengguna mencuba sukan Paralimpik itu dan berfungsi sebagai gelanggang serba guna.
Boccia dimainkan oleh pengguna kerusi roda yang mengalami ketidakupayaan kemahiran motor.
Matlamat permainan itu adalah untuk membaling bola sedekat mungkin dengan bola sasaran berwarna putih yang dikenali sebagai ‘bicu’.
Asalnya direka untuk dimainkan oleh individu yang menghidap palsi serebrum, sukan itu kini telah berkembang untuk merangkumi atlet kurang upaya dengan kemahiran motor yang terjejas.
Sementara itu, laluan berhalangan kerusi roda – direka dengan saranan daripada Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) – menyediakan ruang kepada pengguna kerusi roda untuk meningkatkan kawalan mobiliti mereka dan menguatkan otot bahagian atas badan dan otot utama mereka.
Terdapat juga laluan pergerakan fizikal inklusif yang sesuai untuk semua peringkat usia, termasuk kanak-kanak.
Ia menyediakan ruang bagi pengguna seperti pesakit angin ahmar untuk melatih daya pergerakan mereka.
Di zon pasif, terdapat dek lantai untuk bertafakur. Orang ramai boleh beriadah di zon itu dengan melakukan kegiatan seperti yoga.
Pengunjung juga boleh mengimbas kod QR di setiap dek meditasi dan mendengar lagu bersesuaian yang telah disusun NParks melalui aplikasi muzik Spotify.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg