Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapir Malaya terancam dirakam beberapa kali di Pulau Ubin

Petanda baik usaha pemuliharaan hidupan liar di pulau itu berkesan
Dec 9, 2024 | 5:30 AM
Dalam rakaman perangkap kamera, seeokor tapir Malaya betina dirakam sedang makan apa yang kelihatan seperti buah nangka atau cempedak di bahagian barat Pulau Ubin pada Ogos.
Dalam rakaman perangkap kamera, seeokor tapir Malaya betina dirakam sedang makan apa yang kelihatan seperti buah nangka atau cempedak di bahagian barat Pulau Ubin pada Ogos. - Foto MARCUS CHUA

Seekor tapir Malaya, yang terancam di serata dunia dan pertama kali ditemui di Pulau Ubin pada Mei, mungkin masih lagi merayau-rayau di kawasan ladang pokok getah dan dusun buahan di pulau ini.

Haiwan tersebut pertama kali dikesan pada 27 Mei oleh perangkap kamera pada sekitar 8.30 malam di bahagian timur Pulau Ubin, menurut catatan jurnal, Nature in Singapore, yang diterbitkan pada 20 November. 

Ini merupakan bukti bergambar tapir Malaya yang pertama di Singapura pada 2024, spesies yang dianggap tidak berasal dari sini. 

Haiwan nokturnal ini beberapa kali dirakam perangkap kamera antara Julai dengan Ogos.

Dalam rakaman tersebut, ia sedang makan buah-buahan yang gugur ke permukaan tanah di bahagian barat Pulau Ubin.

Dalam catatan pada 29 November, para pengkaji mengenal pasti tapir itu sebagai haiwan betina dewasa yang sama berdasarkan parut melengkung pada bahagian punggungnya, sepadan dengan tanda pada bahagian punggung kiri manusia.

Tapir itu dirakam secara kebetulan dalam kajian yang dijalankan oleh Universiti George Mason di Amerika Syarikat, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Lembaga Taman Negara (NParks). 

Kajian tersebut bertujuan memantau tempat kedudukan dan bilangan kancil di Pulau Ubin, spesies yang disangka pupus di Singapura sehingga pada 2009 apabila satu populasi yang sedang membiak disahkan. 

Pengkaji, Encik Marcus Chua, berkata: “Saya sangat ghairah melihat tapir Malaya di skrin saya apabila menyemak gambar-gambar yang dirakam di perangkap kamera kami.” 

“Saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa ia ditemui di lebih dari satu tempat di pulau itu.” 

Apabila kajian tersebut selesai pada 23 September, lima daripada 41 stesen perangkap kamera di Pulau Ubin telah merakam binatang itu. 

Tapir tersebut kali terakhir ditemui pada 12 Ogos, menunjukkan ia bergerak dalam hutan di barat Pulau Ubin pada larut malam. 

Encik Chua, kurator mamalia di Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian NUS, berkata:

“Nampaknya Pulau Ubin seperti merupakan sebahagian dari ruang kediamannya (kawasan yang lazim didiami haiwan) sekurang-kurangnya bagi tahun ini (2024).

“Oleh itu, ia mungkin masih mendiami atau mengunjung Pulau Ubin dari semasa ke semasa.” 

Pengarah pemuliharaan NParks, Encik Lim Jiang Jim, berkata kehadiran tapir di Pulau Ubin, walaupun menarik, tidak semestinya menandakan adanya populasi tapir Malaya di Singapura. 

Beliau menambah: “Kami akan terus memantau laporan penemuan haiwan ini dan mencatat rekod tidak langsung melalui perangkap kamera serta tanda-tanda seperti jejak atau penemuan lain.”

Tapir Malaya merupakan spesies tapir terbesar dan ia diketahui boleh membesar sehingga 2.5 meter dan seberat 500 kilogram. 

Ia adalah satu-satunya jenis tapir yang boleh ditemui di luar Amerika dan hidup secara semula jadi di hutan tanah rendah Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Thailand. 

Namun, jumlah tapir ini semakin berkurangan, terutama kerana habitat hutan mereka telah dihapuskan bagi projek pertanian, perlombongan dan pembangunan. 

Kini, dijangka hanya sekitar 2,500 tapir Malaya dewasa yang hidup liar.

Penampakan tapir Malaya terakhir dicatatkan pada 12 Ogos ketika sedang bergerak pada larut malam di bahagian barat Pulau Ubin.
Penampakan tapir Malaya terakhir dicatatkan pada 12 Ogos ketika sedang bergerak pada larut malam di bahagian barat Pulau Ubin. - Foto MARCUS CHUA

Di Singapura, rekod pertama spesies itu adalah bangkai yang ditemui di sebuah kuari di Pulau Ubin hampir 40 tahun lalu pada 1986.

Penampakan seterusnya berlaku 30 tahun kemudian pada 2016, apabila tapir itu dirakam sedang berenang di lautan berdekatan Changi.

Pada 2023, laporan penampakan tapir di Pulau Tekong, Pulau Ubin dan Punggol telah menimbulkan keghairahan dalam talian, dengan seorang menggambarkannya seperti babi hutan yang memakai lampin.

Tidak pasti sama ada tapir tersebut adalah yang sama dirakamkan pada 2024.

Tapir ini kemungkinan besar telah merayau dari kawasan hutan di Johor, dengan semua penampakan dilaporkan berlaku di bahagian timur laut Singapura dan Pulau Ubin, menurut catatan pengkaji pada 29 November.

Kehadiran tapir Malaya dan haiwan hutan seperti kancil adalah petanda baik bahawa hidupan liar boleh hidup di kawasan yang pernah diganggu manusia. 

Sejak 2014, pihak pemerintah bekerjasama dengan masyarakat untuk mengekalkan alam sekitar semula jadi dan biodiversiti Pulau Ubin.  

Menurut Encik Chua: “Apa yang pasti adalah bahawa hutan di Pulau Ubin, yang sebelum ini dimusnahkan untuk ladang dan kuari, telah pulih sehingga tahap yang membolehkan ia menampung mamalia besar seperti tapir Malaya.

“Ia juga merupakan rumah bagi haiwan asli lain yang terancam seperti kancil dan burung barau-barau.

“Ini merupakan petanda baik bahawa usaha pemuliharaan hidupan liar di pulau ini membuahkan hasil.”

Menurut pencatat rekod, kemungkinan terdapat lebih banyak penampakan tapir pada masa depan.

Kajian menunjukkan bahawa tapir Malaya dewasa boleh merayau dalam kawasan seluas antara 0.6 dengan 12.7 kilometer persegi di Semenanjung Malaysia. 

Ini bermakna habitat hutan di Pulau Ubin dan Pulau Tekong mungkin dapat menampung kehidupan tapir.

Sekiranya anda bertemu tapir, terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan:

  1. Kekal tenang dan diam tanpa membuat pergerakan mendadak
  2. Jangan cuba mendekati atau memberi makan haiwan tersebut
  3. Kekalkan jarak selamat, jangan mengepung atau mengganggu haiwan itu, seperti mengambil gambar dengan menggunakan lampu
  4. Hubungi Pusat Respons Haiwan di talian 1800-476-1600 untuk melaporkan sebarang penampakan tapir
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg