Taman Warisan Melayu buka semula 25 Apr, papar kisah, artifak baru
Taman Warisan Melayu buka semula 25 Apr, papar kisah, artifak baru
Pengunjung boleh lihat enam ruang bertema, lima karya seni tempatan selain hadiri acara ‘Pesta Pecah Panggung’ sempena pembukaan
Taman Warisan Melayu (TWM) akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 25 April, dengan mengetengahkan naratif baru yang dinamakan Dari Rantau Ke Rumah.
Naratif yang menelusuri evolusi identiti Melayu di Singapura sejak Kesultanan Johor-Riau-Lingga pada abad ke-19 hingga ke masa hadapan itu diketengahkan merentasi enam ruang bertema yang memaparkan sebanyak 279 artifak.
Di samping itu, para pengunjung boleh menantikan pameran Koridor Kenangan Budaya yang menghubungkan antara galeri dan menawarkan sorotan terhadap pelbagai aspek warisan Melayu.
Ini selain lima karya seni tempahan hasil seniman Melayu tempatan yang akan ditonjolkan.
“Melalui pembaharuan ini, TWM berharap dapat mengajak masyarakat untuk merenung bagaimana kenangan, nilai dan pengalaman yang pelbagai membentuk identiti hari ini.
“Ini di samping membayangkan kemungkinan bagaimana masyarakat Melayu akan terus berkembang pada masa hadapan,” kata Pengurus Besar TWM, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff.
Beliau berkongsi demikian semasa sesi pratonton media di TWM yang terletak di 85 Sultan Gate, pada 3 Februari yang turut dihadiri Pembantu Kurator TWM, Dr Hadi Osni.
TWM ditutup pada 30 Oktober 2022 bagi kerja pembinaan dan pemulihan semula kemudahan serta bangunannya.
Sewaktu Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 17 Ogos 2025 yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pembukaan semula TWM merupakan sebahagian usaha untuk melestarikan dan memupuk warisan Melayu.
Selain galeri yang diperbaharui dan sorotan artifak utama, TWM akan menganjurkan pelbagai program sempena pembukaan semulanya yang berlangsung dari 25 April hingga 3 Mei, kata Encik Hafiz.
Dinamakan Pesta Pecah Panggung — Merentasi Sempadan, festival pembukaan itu merangkumi pelbagai program yang berlangsung dari siang hingga malam.
Ini termasuk persembahan kebudayaan, pemasangan seni, bengkel dan pelbagai kegiatan lain.
“Selama sembilan hari, kami akan bekerjasama rapat dengan rakan kerja di Kampong Gelam dan juga di seluruh Singapura di mana kami akan melestarikan budaya Melayu di Singapura.
“Salah satu program unik dan menarik yang kami akan lakukan pada minggu pertama adalah Slumber Party di mana kami akan mengadakan program sepanjang malam yang juga akan diiringi dengan program lain di daerah taman warisan ini,” ujar Encik Hafiz.
Selain itu, TWM juga melakarkan program untuk menarik golongan belia dan kanak-kanak, tambah Encik Hafiz.
Kegiatan seperti Supper Tour atau lawatan mencari makan lewat malam dan tayangan filem merupakan antara contoh program yang bakal berlangsung.
“Kami menjemput masyarakat terutama sekali belia untuk ikut serta dalam acara seperti tayangan filem, program di galeri dan juga Supper Tour yang akan diadakan di sekitar Kampong Gelam.
“Kami harus memahami bahawa kadangkala ada belia tidak mengenali dengan dekat mengenai warisan Melayu.
“Justeru kami harus mencari cara lebih inovatif, seperti menyediakan tempat yang sesuai untuk mereka duduk bersama rakan.
“Selain daripada galeri dan kandungan, kami juga ingin menjadikan tempat ini sebagai satu tapak bagi belia agar mereka dapat kunjungi Kampong Gelam bukan hanya untuk ke kafe malah untuk ke TWM juga,” tambah beliau.

