Sekitar 31,000 lagi pelajar akan layak menerima bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan sekolah mereka mulai 2026, selepas Kementerian Pendidikan (MOE) menaikkan had kelayakan pendapatan bagi skim-skim bantuan kewangannya.
Secara keseluruhan, sekitar 133,000 pelajar dijangka menerima sokongan kewangan MOE setiap tahun, menurut kenyataan MOE pada 16 Oktober.
Siling pendapatan kasar bulanan isi rumah untuk Skim Bantuan Kewangan MOE bagi sekolah pemerintah, bantuan pemerintah dan sekolah khusus akan meningkat daripada $3,000 kepada $4,000. Siling pendapatan bagi setiap kapita juga akan dinaikkan daripada $750 kepada $1,000.
Had pendapatan yang disemak semula ini turut merangkumi skim MOE lain, termasuk bagi sekolah bebas dan institusi pendidikan posmenengah.
Had pendapatan bagi Dermasiswa Merit Edusave – yang diberikan kepada pelajar warga Singapura yang tergolong dalam 25 peratus teratas kohort mereka dan mempamerkan tingkah laku baik – akan dinaikkan daripada $7,500 kepada $9,000.
Had pendapatan kelayakan bagi Biasiswa Uplift – yang menyokong pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang menunjukkan prestasi akademik cemerlang – pula akan dinaikkan daripada $4,400 kepada $5,500.
Perubahan ini adalah sebahagian daripada semakan menyeluruh terhadap kriteria pendapatan dan jumlah bantuan bagi beberapa skim bantuan kewangan, yang memberi manfaat kepada pelajar dari sekolah rendah hingga universiti.
Kebanyakan penambahbaikan akan berkuat kuasa mulai Januari 2026, kecuali untuk kriteria pendapatan yang disemak bagi Dermasiswa Merit Edusave, yang akan bermula pada November 2025, bertepatan dengan pelaksanaan dermasiswa tahun itu.
Perubahan untuk pelajar lepasan menengah akan berkuat kuasa dari permulaan tahun akademik setiap institusi.
Pusingan semakan dan penambahbaikan terakhir bagi skim sokongan ini dilakukan pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Dalam catatan Facebook dan Instagramnya pada 16 Oktober, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata penambahbaikan ini akan memberi pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana sokongan yang lebih besar untuk menguruskan kos pendidikan, dan memastikan setiap kanak-kanak dan belia Singapura boleh terus mengakses program sekolah dan pascamenengah.
“Pendidikan adalah penyama sosial yang kuat. Dengan memastikan akses peluang yang sama, kami boleh membantu setiap kanak-kanak mengejar aspirasi mereka dan membina masa depan yang lebih cerah bersama-sama,” kata beliau.
Di bawah semakan kali ini, pelajar yang menerima bantuan kewangan juga akan mendapat lebih banyak sokongan bagi kos pengangkutan.
Subsidi bas sekolah bagi murid sekolah rendah akan dinaikkan daripada 65 peratus kepada 70 peratus daripada tambang bulanan, manakala subsidi pengangkutan awam bulanan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah akan meningkat daripada $17 kepada $21.
Selain itu, jumlah biasiswa tahunan pelajar prauniversiti akan dinaikkan daripada $1,200 kepada $1,600, dengan subsidi pengangkutan dimasukkan ke dalam jumlah baru ini.
Begitu juga, Biasiswa Uplift tahunan akan meningkat daripada $1,000 kepada $1,200.
MOE berkata penambahbaikan ini adalah tambahan kepada subsidi sedia ada untuk yuran sekolah, buku teks, pakaian seragam dan makanan.
Di peringkat posmenengah, jumlah biasiswa akan dinaikkan bagi pelajar sepenuh masa dan sambilan di institusi yang dibiayai pemerintah seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti.
Bagi memudahkan keluarga memohon bantuan kewangan, MOE dan institusi posmenengah akan memperkenalkan satu sistem baru mulai Januari 2026, dipanggil Household Means Eligibility System (Homes), atau Sistem Kelayakan Berdasarkan Pendapatan Isi Rumah.
Sistem ini akan secara automatik mendapatkan data pendapatan isi rumah daripada sumber pemerintah, sekali gus mengurangkan keperluan sebilangan besar pemohon untuk mengemukakan dokumen sokongan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg