Lebih banyak cara untuk mengurus beban kerja guru dan membantu mereka berkembang secara profesional sedang diteroka Kementerian Pendidikan (MOE) dan pemimpin sekolah, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Langkah sedemikian diambil bagi menyokong guru dengan lebih baik.
Beliau menambah MOE akan “menggandakan usaha” untuk menarik dan mengekalkan pendidik yang baik supaya adanya komuniti pendidikan yang kukuh.
Encik Lee berkata demikian semasa berucap di Sidang Kemuncak Profesor bagi Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Marriott Tang Plaza Hotel pada 8 Oktober.
Keputusan daripada kajian global oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menunjukkan guru di sini rasa dihargai dan mengalami kepuasan kerja yang tinggi, ujarnya.
Guru-guru di Singapura juga mempunyai beban kerja yang tinggi berbanding golongan serupa dalam sistem lain, dari segi tugasan bukan akademik dan pengajaran dalam talian, tambah beliau.
Laporan Tinjauan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran 2024 yang diterbitkan pada 7 Oktober mendapati guru di sini bekerja purata 47.3 jam seminggu, lebih tinggi daripada purata OECD iaitu 41 jam.
Faktor berkaitan beban kerja tertentu, seperti tugasan pentadbiran dan pemarkahan, telah dikenal pasti oleh guru di sini sebagai punca utama tekanan mereka.
“Kami mengiktiraf isu ini dan telah membuat langkah untuk menyokong guru kami dengan lebih baik, termasuk menguruskan beban kerja pentadbiran mereka,” kata Encik Lee.
Langkah-langkah ini termasuk mengukuhkan pasukan pentadbiran sekolah dan memperkenalkan kecerdasan buatan (AI).
MOE juga telah merintis pendekatan perolehan untuk memudahkan proses seperti menganjurkan kem dan membuat pembelian, katanya.
Beliau berkata: “Kami telah menyediakan alat AI dan digital lain kepada guru agar mereka dapat menyelesaikan tugas dengan lebih cepat.
“Sebagai contoh, penggunaan AI bagi membantu menulis surat kepada ibu bapa dan mempersiapkan draf awal testimoni pelajar.”
Beliau menambah MOE telah melaksanakan projek rintis bagi perolehan untuk memudahkan proses seperti menganjurkan kem dan membuat pembelian dan ini akan diperluaskan kepada lebih banyak sekolah kelak apabila ia tersedia.
“Ini hanyalah detik permulaan, dan kita mesti lakukan lebih banyak lagi (bagi membantu guru-guru),” katanya.
Sidang kemuncak itu tertumpu pada masa depan pendidikan dan penyelidikan pendidikan. Ia diadakan untuk meraikan ulang tahun ke-75 NIE dan dihadiri lebih 300 ahli akademik dan pendidik.
Encik Lee berkata NIE akan memainkan peranan penting dalam usaha ini, apabila sistem pendidikan berubah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg