Topik diikuti
Pergi ke BHkuTambahan sekitar 60,000 isi rumah layak terima baucar pengangkutan awam
Pemerintah sedia bantuan bagi tangani peningkatan kos tambang pengangkutan awam
Tambahan sekitar 60,000 isi rumah layak terima baucar pengangkutan awam
Kira-kira empat daripada 10 isi rumah akan layak menerima baucar pengangkutan awam (PTV) yang bertujuan meringankan impak kenaikan tambang.
Ini merupakan satu kenaikan sekitar 60,000 isi rumah berbanding tahun sebelumnya.
Isi rumah berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita $2,100 layak memohon baucar tersebut, naik daripada $1,800 sebelumnya, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).
Nilai baucar berkenaan juga dinaikkan kepada $80 bagi setiap isi rumah, berbanding $60 pada 2025.
Isi rumah berkenaan boleh menggunakan baucar tersebut untuk menambah nilai kad tambang atau membeli pas perjalanan bulanan selepas kenaikan tambang berkuatkuasa pada 26 Disember.
Menurut MOT, mereka yang menerima baucar tersebut pada 2025 dan terus memenuhi kriteria kelayakan pendapatan akan menerima baucar tersebut pada Disember 2026 secara automatik.
Dalam peringkat pengagihan baucar kedua pada awal 2027, mereka yang layak tetapi tidak menerima baucar menerusi peringkat pertama, boleh membuat permohonan dalam talian serta di kelab dan pusat masyarakat.
Bagi tambang berbentuk wang tunai, golongan dewasa perlu membayar 20 sen lebih tinggi bagi setiap perjalanan, manakala pelajar, warga emas, dan golongan kurang upaya perlu membayar 10 sen lebih tinggi.
Ini susulan Latihan Semakan Tambang (FRE) 2026 yang diumumkan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada 29 September.
Lantas, peningkatan nilai baucar serta peluasan kriteria kelayakan antara beberapa langkah yang diambil oleh pemerintah untuk meringankan kesan kenaikan tersebut, serta melindungi golongan yang lebih terjejas.
Menurut pihak PTC, kenaikan tersebut dipacu oleh lonjakan harga tenaga menyusuli krisis Timur Tengah.
Selain baucar PTV, harga pas perjalanan bulanan akan kekal untuk membantu pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan awam.
Semasa sidang media anjuran PTC pada 29 September, pihak PTC menggesa pengguna yang kerap menggunakan pengangkutan awam agar memanfaatkan pas perjalanan bulanan. Kini, terdapat 126,000 pengguna pas tersebut.
Menurut PTC, penggunaan pas hibrid itu boleh membawa penjimatan kos bulanan sekitar $26.
Kini, pas hibrid itu berharga $122 bagi golongan dewasa, dan $55 bagi pelajar, warga emas dan golongan kurang upaya.
Menurut analisis data, PTC menyatakan sekitar 110,000 lebih pengguna pengangkutan awam – yang didapati membelanjakan lebih $122 sebulan untuk tambang pengangkutan awam – boleh menikmati penjimatan tersebut sekiranya menggunakan pas bulanan.
PTC turut menggesa rakyat memantau perbelanjaan pengangkutan awam bulanan menerusi aplikasi SimplyGo.
PTC menambah bahawa mereka akan meneroka ciri baharu untuk memberi amaran kepada pengguna aplikasi SimplyGO sekiranya perbelanjaan bulanan itu mencecah kos pas hybrid bulanan.
Selain itu, kos perjalanan bagi pemegang kad Skim Konsesi Pengangkutan Daya Kerja akan kekal pada $92 sebulan, sekali gus memanfaatkan kira-kira 190,000 pemegang kad berkenaan, tambah PTC.
Selaras dengan sebarang kenaikan tambang, pengendali pengangkutan awam turut dikehendaki menyumbang sebahagian daripada peningkatan hasil tambang mereka kepada Dana Pengangkutan Awam.
Pemerintah mengeluarkan peruntukan daripada dana tersebut untuk mengagihkan baucar pengangkutan awam bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah menangani kenaikan tambang.
Bagi latihan semakan tambang terkini, PTC akan mewajibkan SBS Transit Rail dan SMRT Trains untuk menyumbang 30 peratus daripada jangkaan peningkatan hasil mereka – yang berjumlah $23.94 juta – kepada Dana Pengangkutan Awam.
Jumlah ini merangkumi $8.07 juta daripada SBS Transit Rail dan $15.87 juta daripada SMRT Trains.