Penumpang dewasa bakal membayar tambang lebih tinggi bagi bas dan tren bermula 26 Disember, sedang tambang pengangkutan awam naik 7 peratus di sebalik kos tenaga lebih tinggi akibat krisis Timur Tengah.

Tambang kad dewasa akan meningkat antara 12 hingga 13 sen bagi setiap perjalanan, manakala pelajar, warga emas dan golongan kurang upaya akan membayar tambahan 5 sen bagi setiap perjalanan.

Ini susulan Gerakan Semakan Tambang (FRE) 2026 yang diumumkan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada 29 September.

Ini merupakan kenaikan tambang yang tertinggi sejak kenaikan 11 sen semasa FRE 2023.

Semasa sidang media pada 29 September, Pengerusi PTC, Cik Janet Ang, berkata kenaikan ini terutamanya didorong oleh peningkatan ketara harga tenaga antara Julai 2025 dengan Jun lalu, khususnya berikutan konflik yang berterusan di Timur Tengah.

Bagi memastikan sistem pengangkutan awam kekal mampu di tengah-tengah kebimbangan kos sara hidup yang kian meningkat, PTC hanya meluluskan kenaikan 7 peratus sahaja, kata Cik Ang.

Angka itu kurang daripada separuh kuantum pelarasan tambang maksimum yang dibenarkan, iaitu sebanyak 14.7 peratus.

Baki 7.7 peratus itu akan dibawa ke semakan pada masa hadapan.

Demi memastikan harga tambang kekal berpatutan, pemerintah akan menampung baki 7.7 peratus itu, sekali gus menyediakan subsidi tambang tambahan bernilai hampir $200 juta pada 2027.

Ini di samping subsidi tahunan lebih $2 bilion untuk operasi pengangkutan awam.

Selain itu, pemerintah akan menyerap kenaikan tambang demikian bagi kira-kira 190,000 pekerja berpendapatan rendah yang memegang kad Skim Konsesi Pengangkutan Daya Kerja.

Menurut Cik Ang, kos pengendalian dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam terus meningkat didorong oleh kenaikan mendadak harga tenaga, termasuk diesel.

“Pada 2025, harga tenaga melonjak ketara sebanyak 21 peratus akibat konflik di Timur Tengah, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan sistem tersebut,” katanya.

PTC berkata lonjakan harga tenaga merupakan penyebab utama dalam peningkatan kadar tambang pengangkutan.

Peningkatan tambang sebanyak 7 peratus itu terdiri daripada kuantum 5.3 peratus yang ditentukan oleh formula pelarasan tambang, serta 1.7 peratus daripada kuantum 9.4 peratus yang ditangguhkan daripada semakan tambang 2025.

Dalam pada itu, pemerintah akan meningkatkan sokongan dalam pelbagai aspek.

PTC berkata harga pas perjalanan bulanan akan dikekalkan.

Pas perjalanan bulanan berharga $122 bagi dewasa, dan $55 bagi pelajar, warga emas dan golongan kurang upaya.

Pemerintah juga akan meningkatkan nilai Baucar Pengangkutan Awam (PTV) daripada $60 kepada $80 bagi setiap isi rumah.

Kriteria kelayakan bagi baucar tersebut juga akan diperluaskan, dengan isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita sehingga $2,100 kini layak memohon, berbanding had $1,800 sebelum ini.

Ini bermakna sekitar tambahan 60,000 isi rumah layak untuk menerima baucar tersebut.

PTC berharap langkah-langkah tersebut dapat meringankan beban terhadap kenaikan tambang, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan penduduk yang kerap menaiki pengangkutan awam.

Sebagai contoh, perjalanan bagi golongan dewasa dari stesen MRT Raffles Place ke Tampines akan berharga $2.15 berbanding tambang $2.02 sekarang.

Bagi tambang menggunakan wang tumai, golongan dewasa perlu membayar 20 sen lebih bagi setiap perjalanan, manakala pelajar, warga emas, dan PWD perlu membayar 10 sen lebih.

Pengguna dewasa akan membayar tambahan 12 sen bagi perjalanan jarak singkat sehingga 3.2 kilometer, manakala perjalanan melebihi jarak tersebut akan dikenakan bayaran tambahan 13 sen.