Tambang pengangkutan awam bagi orang dewasa yang menggunakan kad tambang akan naik 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 28 Disember 2024.
Ini bermakna perjalanan bagi golongan ini dari stesen MRT Raffles Place ke Tampines misalnya akan menelan belanja $2.02 berbanding tambang $1.92 sekarang.
Ia menyusuli kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 6 peratus sebagai sebahagian daripada Langkah Menyemak Tambang (FRE) 2024, umum Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dalam satu sidang media pada 9 September.
Pada 2023, kenaikan tambang keseluruhan adalah 7 peratus atau 11 sen, bagi orang dewasa yang menggunakan kad tambang. Kenaikan ini adalah yang tertinggi dalam FRE.
Semakan tambang kali ini merupakan yang kedua di bawah formula penyesuaian tambang baru yang diumumkan pada April 2023.
PTC, badan yang mengawal selia tambang dan perkhidmatan pembayaran tiket, menyatakan tambang konsesi bagi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah yang menggunakan kad tambang pula akan naik 4 sen bagi setiap perjalanan. Golongan ini meliputi sekitar 2 juta pengguna pengangkutan awam.
Kenaikan 6 peratus ini, kata PTC, adalah sekitar sepertiga lebih rendah daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan bagi 2024.
Baki 12.9 peratus, setelah menolak 6 peratus daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan, akan dibawa ke hadapan bagi semakan pada masa hadapan.
Peratusan 18.9 ini merangkumi penyesuaian 3.3 peratus bagi 2024 dan kenaikan 15.6 peratus yang ditangguhkan dari semakan pada 2023.
PTC menjelaskan penyesuaian pada 2024 didorong oleh perkembangan inflasi teras dan gaji tetapi disederhanakan sebahagiannya dengan penurunan harga tenaga daripada kemuncak harga yang dicatatkan pada 2022.
Ia juga sedia maklum kos sara hidup “terus menjadi kebimbangan bagi warga Singapura” dan memutuskan untuk menaikkan tambang sebanyak 6 peratus bagi “mengurangkan kesan akibat kenaikan tambang penuh bagi penumpang”, tambah PTC.
Pengerusi PTC, Cik Janet Ang, berkata kuantum yang ditangguhkan bagi tahun-tahun sebelum ini telah terkumpul “disebabkan peningkatan ketara dalam harga tenaga pada 2021 dan 2022, inflasi teras yang tinggi serta pertumbuhan gaji kukuh”.
Namun demikian, PTC berkata tiada perubahan bagi tambang yang dibayar secara tunai, pas perjalanan bulanan bagi dewasa, pas konsesi MRT/bas bulanan dan pas konsesi hibrid (bas dan MRT).
Di samping itu, PTC turut menyatakan bahawa pelajar tamat pengajian yang layak dapat menikmati tambang konsesi pelajar lebih lama setelah tempoh konsesi pelajar akan dilanjutkan bagi kohort pelajar yang tamat kursus atau persekolahan, iaitu selama empat bulan.
Ini bermakna pelajar tamat pengajian layak yang persekolahan atau kursus mereka tamat pada atau selepas 28 Disember masih boleh menikmati tambang konsesi pelajar, yang menurut PTC akan memanfaatkan sekitar 75,000 pelajar setiap tahun.
Misalnya dari stesen MRT Raffles Place ke Tampines, mereka hanya dikenakan tambang 74 sen berbanding $2.02 bagi golongan dewasa yang menggunakan kad tambang.
Kenaikan ketara ini merupakan pengalaman Cik Nur Maisarah Abdul Malek, 21 tahun, yang menyatakan beliau perlu menokok lebih $20 berbanding tambang konsesi pelajar apabila beliau tamat kursus diploma.
Bekas pelajar Politeknik Nanyang dalam jurusan pengurusan dan sistem aeroangkasa itu berkata: “Saya bekerja ketika menuntut di politeknik jadi ketika saya masih ada tambang pelajar, saya hanya perlu tokok $10 dan ia boleh menjangkau lebih seminggu.”
Bagi melanjutkan tempoh ini, pelajar tamat pengajian yang layak perlu ke mana-mana mesin tiket atau kaunter antara 1 Oktober dengan 31 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg