Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tampines bentang pelan induk bagi lima tahun mendatang pada Sep

Kini giat dapatkan idea, saranan daripada penduduk bagi pembangunan seterusnya estet itu
Jun 23, 2024 | 6:04 PM
Dari kiri (baju putih) Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon dan Penasihat Kedua GRC Tampines, Dr Charlene Chen, bersama para penduduk di Our Tampines Hub (OTH) pada 23 Jun.
Dari kiri (baju putih) Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon dan Penasihat Kedua GRC Tampines, Dr Charlene Chen, bersama para penduduk di Our Tampines Hub (OTH) pada 23 Jun. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Majlis Bandaran Tampines sedang dalam proses mendapatkan idea dan saranan daripada para penduduk bagi fasa seterusnya pembangunan estet bandar tersebut.

Ini dijangka membentuk dan menyumbang kepada pelan induk bandar itu bagi tempoh lima tahun mendatang yang akan dibentang pada 8 September nanti, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Pelan induk tersebut menyusuli perkembangan dan pencapaian projek di sekitar estet Tampines sejak lima tahun lalu yang telah dipaparkan dalam pameran bergerak pertama oleh Majlis Bandaran Tampines di Our Tampines Hub (OTH) pada 23 Jun.

Encik Masagos, yang juga merupakan penasihat bagi akar umbi GRC Tampines, berkata demikian semasa melancarkan pameran tersebut.

Pameran yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun di OTH itu adalah yang pertama dalam satu siri pameran bergerak dari Jun hingga Ogos merentasi lima bahagian Tampines, iaitu Tampines Changkat, Tampines Central, Tampines East, Tampines North dan Tampines West.

Di pameran-pameran tersebut, penduduk akan diundang untuk memberikan cadangan dan idea mereka, yang menurut majlis bandaran itu, akan memberi panduan bagi projek masa depan seperti rancangan untuk membina ruang permainan berbilang generasi.

“Walaupun mempunyai kemudahan yang lebih baik dan sokongan masyarakat untuk penduduk Tampines terus menjadi keutamaan, kita mesti mempunyai lebih banyak proses berasaskan penduduk untuk memahami keperluan mereka.

“Setiap suara penting dalam membentuk masa depan Tampines, dan kami berhasrat untuk bekerjasama dengan semua penduduk untuk memastikan aspirasi mereka menjadi realiti,” kata Encik Masagos.

Majlis Bandaran Tampines berkata beberapa projek perintis telah dilancarkan yang sudah memberi manfaat kepada penduduk.

Ini termasuk menjadi bandar yang pertama menubuhkan ternakan ikan kontena dan menggunakan cat sejuk untuk blok flat HDB, yang membantu mengurangkan suhu di sekitarnya sambil mengurangkan penggunaan tenaga untuk menyejukkan persekitaran.

Pelancaran pameran itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng. Kedua-duanya juga adalah Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tampines.

Turut hadir adalah Penolong Profesor Pemasaran, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen, yang dilantik sebagai Penasihat Kedua GRC Tampines, baru-baru ini.

Majlis Bandaran Tampines berkata satu perbincangan panel akan diadakan pada masa terdekat antara para AP dan penduduk untuk lebih memahami keperluan penduduk, sebelum pelan induk baru dikeluarkan pada 8 September.

Ia menambah bahawa Dr Chen, yang kini tidak memegang sebarang pelantikan rasmi dalam majlis bandaran tersebut, juga akan terlibat dalam perbincangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg