Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengerusi NUHS dilantik pengerusi baru Majlis Penasihat Presiden
Pengerusi NUHS dilantik pengerusi baru Majlis Penasihat Presiden
Tan Chong Meng gantikan Eddie Teo
Pengerusi NUHS dilantik pengerusi baru Majlis Penasihat Presiden
Pengerusi Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Encik Tan Chong Meng, kini menerajui Majlis Penasihat Presiden (CPA), menggantikan Encik Eddie Teo.
Pelantikan beliau, bersama empat anggota baharu lain, diumumkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 1 Jun.
Empat tokoh yang dilantik ialah penasihat kanan Singtel, Cik Chua Sock Koong, yang dikekalkan jawatannya; Pengerusi Keppel, Encik Piyush Gupta; Pengerusi Singapore LNG Corporation, Encik Gan Seow Kee; dan Cik Tan Ching Yee, Pengerusi Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), sebagai anggota ganti CPA.
Pelantikan disahkan Pejabat Presiden melalui kenyataan rasmi pada 2 Jun.
Pada 1 Jun, Pro-Canselor Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Teo, dan anggota majlis, Encik Lim Chee Onn, seorang mantan menteri, telah menamatkan tempoh perkhidmatan mereka.
Tuan Presiden, dalam surat penghargaan kepada Encik Teo, memuji peranan pentingnya sewaktu pandemik Covid-19, terutama dalam memandu majlis memberikan nasihat mengenai pengeluaran rizab negara.
“Anda membimbing majlis dengan jelas dan tenang, memastikan nasihat yang diberikan kepada Presiden berprinsip, berhati-hati dan mengutamakan kepentingan jangka panjang Singapura,” kata Tuan Presiden dalam surat tersebut.
Sepanjang khidmatnya sejak 2018, Encik Teo telah mengukuhkan CPA secara ‘berkekalan’.
Tuan Presiden memuji disiplin dan ketelitian Encik Teo, khususnya dalam pertimbangan kritikal seperti melindungi rizab negara dan memastikan integriti pelantikan jawatan awam yang utama.
Mengalu-alukan pelantikan ini, Tuan Presiden dan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong turut membuat hantaran di Facebook pada 2 Jun.
Tuan Presiden menulis:
“Chong Meng membawa rekod kepimpinan dan perkhidmatan yang unik serta cemerlang merentasi sektor swasta, awam dan kemasyarakatan, terutama dalam memimpin transformasi PSA International menjadi kumpulan pelabuhan global terkemuka, dan kini sebagai pengerusi Sistem Kesihatan Universiti Nasional.”
Tuan Presiden yakin Encik Tan akan menyumbang ‘kepintaran, kebebasan dan integriti’ kepada tanggungjawab ini.
Encik Wong pula berkata Encik Tan telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Singapura merentasi sektor maritim, perniagaan dan penjagaan kesihatan, serta menerusi khidmatnya di pelbagai institusi awam.
“Beliau memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara kita daripada pandemik Covid-19. Saya yakin pandangan dan pengalaman beliau akan memberi manfaat buat Singapura, dan saya amat menantikan sumbangan berterusan beliau serta CPA,” kata Encik Wong.
Encik Tan, yang juga timbalan pengerusi Temasek, akan berkhidmat sebagai anggota CPA dari Jun 2024 hingga Jun 2030.
Tugas utama CPA adalah menasihati Presiden mengenai penggunaan kuasa budi bicara dan penjagaan, terutamanya dalam semua urusan kewangan negara dan pelantikan jawatan awam.
Ahli-ahli dilantik oleh Presiden sendiri atau dicalonkan oleh Perdana Menteri, Ketua Hakim, dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC). Encik Tan, Encik Gan, dan anggota ganti Cik Tan dilantik melalui budi bicara Tuan Presiden.
Cik Chua dan Encik Gupta dilantik semula atas nasihat Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara.
Anggota-anggota majlis yang lain termasuklah mantan ketua Bank of Singapore Encik Bahren Shaari, Pengerusi SIA Encik Peter Seah Lim Huat, Pengerusi Lembaga Tote Cik Mildred Tan-Sim Beng Mei, dan mantan hakim Encik Chao Hick Tin.
