Topik diikuti
Pergi ke BHkuTan Kiat How: Pesakit jabatan kecemasan berkaitan jerebu naik 20% antara Sep-Okt
Tan Kiat How: Pesakit jabatan kecemasan berkaitan jerebu naik 20% antara Sep-Okt
Hospital awam di Singapura menyaksikan peningkatan sekitar 20 peratus dalam purata harian kedatangan pesakit ke jabatan kecemasan bagi masalah yang berpotensi berkaitan jerebu antara awal September dengan pertengahan Oktober 2026.
Bercakap di Parlimen pada 4 November, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berkata bahawa kes sedemikian di jabatan kecemasan meningkat daripada sekitar 360 kepada 440 kes sehari dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Cik Cassandra Lee (GRC West Coast-Jurong West) mengenai kesan jerebu dan musim selesema terhadap perkhidmatan kecemasan serta langkah sokongan untuk kakitangan barisan hadapan.
Bagi menangani lonjakan permintaan itu, Encik Tan berkata hospital awam telah mengaktifkan pelbagai langkah pengurusan.
“Hospital awam kita mengaktifkan langkah-langkah untuk menangani lonjakan permintaan, termasuk mengaktifkan kapasiti tambahan di mana perlu dan memastikan tenaga kerja yang mencukupi untuk mengekalkan kesinambungan penjagaan.
“Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengaktifkan Skim Subsidi Jerebu pada 12 Oktober 2026.
“Selepas itu, jumlah pesakit yang datang (di jabatan kecemasan) setiap hari telah berkurangan,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Encik Tan menambah bahawa langkah-langkah turut dilaksanakan untuk melindungi dan menyokong pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan.
Ini merangkumi pemasangan penapis udara di dalam bangunan, pengagihan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, serta pemberian waktu rehat secara tetap kepada kakitangan yang perlu bertugas di luar bangunan untuk tempoh yang panjang.
Para pekerja barisan hadapan juga digalakkan untuk sentiasa mengemas kini suntikan vaksinasi influenza mereka bagi menghadapi musim selesema yang bakal tiba.
Menjawab soalan susulan Cik Lee sama ada MOH mempunyai tahap khusus untuk mengaktifkan kapasiti tambahan di jabatan kecemasan sebelum hospital menjadi terlalu sesak, Encik Tan berkata kementerian itu dan kluster penjagaan kesihatan memantau kadar penggunaan dan kedatangan pesakit di poliklinik serta jabatan kecemasan secara tetap.
“Malah, institusi penjagaan kesihatan kita, iaitu institusi penjagaan kesihatan awam, memang mempunyai pelan luar jangka untuk menangani lonjakan permintaan, dan pelan ini akan diaktifkan apabila perlu.
“Ia merupakan tindak balas bertingkat – mengaktifkan dan menggerakkan lebih ramai kakitangan, di samping memastikan kesinambungan penjagaan pesakit terus terpelihara.
“Oleh itu, ini adalah pelan-pelan yang sudah pun sedia ada, dan institusi penjagaan kesihatan turut melatih serta melaksanakannya dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” kata beliau.